KUALA LUMPUR: Seorang lagi kakitangan wanita Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan peruntukan wang zakat berjumlah RM120,000.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di Pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.
BH difahamkan peruntukan wang zakat yang diseleweng itu untuk sejumlah 28 pemohon yang tidak layak.
Sumber mendapati, siasatan awal mengesan suspek bersubahat dengan seorang suspek wanita yang ditahan SPRM pada Ahad lalu.
“Dia dipercayai bersekongkol bagi memudahkan proses permohonan Insentif Modal Perniagaan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.
Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, SPRM Kuala Lumpur menahan seorang bekas kakitangan sebuah badan berkanun yang menguruskan zakat, berusia kira-kira 30-an kerana menyeleweng peruntukan wang zakat bernilai kira-kira RM120,000.
Suspek turut disyaki meminta dan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM2,500 pada Mac lalu.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan warga MAIWP supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk penyelewengan wang zakat yang diamanahkan kerana perbuatan itu bukan saja menjejaskan kesejahteraan hidup di dunia, malah membawa padah di akhirat.
Beliau berkata, peringatan itu berulang kali disampaikan kepada pengerusi dan ketua pegawai eksekutif agensi berkenaan untuk difahamkan kepada semua warga MAIWP supaya sentiasa amanah melaksanakan tanggungjawab.
Sementara itu, BH hari ini juga dimaklumkan suspek pertama yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh remannya tamat hari ini.
BHonline-


