Sabah sudah muak dengan retorik. Janji pembangunan, slogan politik dan laungan “hak rakyat” sudah berpuluh tahun bergema di pentas pilihan raya, tetapi hasilnya tetap sama. Masalah asas seperti air, elektrik, jalan raya, internet dan peluang pekerjaan masih membelenggu rakyat. Rakyat Sabah tidak lagi mahu mendengar cakap kosong. Mereka mahu bukti, mereka mahu tindakan.

Politik Warlord: Mengikat Masa Depan Sabah
Politik Sabah masih dikurung oleh budaya warlord. Kuasa dan pengaruh terkepung di tangan individu lama yang tidak mahu melepaskan kerusi. Sesiapa yang bukan daripada lingkaran elit, terutama anak muda, hanya akan kekal sebagai penonton. Inilah punca mengapa politik Sabah gagal beranjak ke depan. Pemimpin yang sama berulang-ulang dipertontonkan kepada rakyat.
Realitinya, wajah recycle ini sudah hilang daya tarikan. Anak muda Sabah melihat politik sebagai gelanggang sempit, bukan medan perjuangan. Malah, ramai memilih untuk berada “atas pagar” kerana muak dengan permainan kuasa yang hanya menguntungkan segelintir.
Slogan Lama Tidak Menyelesaikan Masalah
Naratif lama “Sabah for Sabahan” masih dilaungkan. Retorik menolak parti Malaya pula masih menjadi modal murahan untuk meraih simpati. Namun rakyat semakin sedar – siapa pun parti yang berkuasa, sama ada lokal atau nasional, hasilnya tetap sama. Hidup rakyat tidak banyak berubah. Kos sara hidup terus menekan, peluang pekerjaan terbatas, dan infrastruktur kekal terabai.
Persoalannya: sampai bila rakyat Sabah harus jadi mangsa slogan yang tidak berkesudahan? Rakyat tidak lapar slogan, rakyat lapar penyelesaian.

Pengundi Muda: Kingmakers yang Terabai
Generasi muda Sabah kini menjadi kelompok pengundi terbesar. Mereka berpotensi menjadi kingmakers yang menentukan jatuh bangun parti. Tetapi sayang, mereka diabaikan. Tidak diberi ruang dalam kepimpinan, tidak ditawarkan masa depan yang jelas, malah tidak dilibatkan dalam membuat keputusan.
Apabila anak muda terabai, mereka menjauh dari politik. Lebih parah, mereka mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi atau menyokong gerakan alternatif yang radikal. Ini adalah bom jangka kepada parti-parti utama jika tidak segera diselesaikan.
Segmen Kritikal: Senyap Tetapi Berbahaya
Selain anak muda, ada kelompok pengundi kritikal yang sering dilupakan: pekerja ladang, nelayan, masyarakat pedalaman, dan penjawat rendah. Mereka ini kelompok senyap tetapi paling terkesan dengan kelemahan dasar. Jika terus dipinggirkan, mereka akan menjadi pengundi yang marah dan tidak setia kepada mana-mana parti.
Bahaya sebenar ialah apabila mereka mengambil sikap “undi protes” – sama ada tidak mengundi, atau memberi peluang kepada calon bebas dan parti kecil yang lebih dekat dengan jeritan mereka.

Jalan Keluar: Reformasi Politik Sabah
Sabah tidak akan berubah selagi politiknya dikuasai wajah lama dan idea lama. Parti-parti mesti berani melakukan reformasi dalaman. Had penggal jawatan pemimpin perlu diwujudkan agar politik warlord dapat dipatahkan. Kuota anak muda mesti diperkenalkan – bukan sekadar kosmetik, tetapi benar-benar memberi ruang kepada generasi baru untuk tampil sebagai calon dan pembuat dasar.
Retorik juga mesti dimodenkan. Naratif “Sabah for Sabahan” perlu diterjemahkan kepada pelan tindakan: hasil negeri digunakan untuk biasiswa, peluang kerja dan projek pembangunan rakyat. Bukan sekadar slogan di pentas ceramah.
Selain itu, parti wajib mengubah cara mereka berhubung dengan rakyat. Media sosial bukan lagi pilihan sampingan tetapi medan utama. TikTok, Instagram dan platform digital adalah ruang engagement yang mesti dikuasai untuk menyantuni anak muda. Politik lama dengan ceramah panjang sudah tidak lagi relevan.
Kesimpulan: Rakyat Menunggu Bukti
Sabah kini berada di persimpangan sejarah. Sama ada parti-parti berani berubah atau mereka akan ditolak secara kolektif. Pengundi muda dan segmen kritikal adalah penentu masa depan politik Sabah. Jika mereka terus diabaikan, maka parti-parti utama hanya menunggu masa untuk diganti.
Sabah tidak mahu lagi retorik. Sabah tidak mahu lagi slogan kosong. Sabah hanya mahu satu perkara: pemimpin yang berani bikin, bukan sekadar cakap.
Tuan Haji Suwadi bin Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM)


