KUALA SELANGOR: MCA diberi ruang untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengesahkan perkara berkenaan pada sidang media selepas program Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.
Ditanya jumlah kerusi untuk calon MCA, Ahmad Zahid enggan mengulas, sebaliknya menjelaskan perkara itu akan dimaklumkan pada hari penamaan calon.
“MCA akan diberikan calon untuk bertanding tetapi MIC pula tidak kerana jumlah pengundi India yang terlalu kecil dan sangat tidak signifikan di Sabah.
“Tetapi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kita beri sebagai parti komponen dalam BN.
“Untuk calon pula, Insya-Allah kebanyakannya muka baharu di samping kita kekalkan muka lama. Kita juga akan ramaikan golongan profesional untuk menjadi calon BN,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN17 sudah dimuktamadkan dan tiada pertindihan agihan kerusi berlaku antara kedua-dua parti.
Isnin lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus memberi laluan kepada PRN17 Sabah diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ia dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. PRN kali ini akan menyaksikan perebutan 73 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Oktober ini, bagi membincangkan beberapa tarikh penting serta urusan berkaitan.
BHonline-


