• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Saturday, February 14, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

KPT Angkat Martabat Akademia, Sembilan Penerima Diiktiraf Di AAN Ke-16

oleh Damu
26/10/2025
dalam Advertorial
0
KPT Angkat Martabat Akademia, Sembilan Penerima Diiktiraf Di AAN Ke-16
Share on FacebookShare on Twitter

Pakar arkeologi terkemuka, Prof. Emerita Datin Paduka Dr. Siti Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025.

Prof. Zuraina berkata, beliau menzahirkan rasa syukur dan terharu atas penghormatan yang tidak disangka selepas hampir lima dekad menabur bakti dalam bidang arkeologi negara.

“Saya rasa syukur, alhamdulillah. Ini perkara tidak disangka kerana sepanjang bekerja, saya tak pernah harapkan apa-apa ganjaran,” katanya ketika ditemui media sempena Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Subang Jaya, pada Jumaat.

Majlis AAN Ke-16 diadakan bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan ahli akademik negara yang telah memartabatkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa melalui pengajaran, penyelidikan, inovasi dan karya ilmiah.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Mengulas lanjut, Prof. Zuraina yang juga pengasas Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia (PPAG) turut berterima kasih kepada pasukan penyelidik, USM dan kerajaan atas sokongan berterusan, selain mengenang sumbangan arwah suami yang menjadi pendorong utama perjuangannya.

“Misi saya dulu hanyalah untuk membina satu disiplin yang belum wujud di Malaysia. Kini saya bersyukur dapat lihat arkeologi berkembang dan matang di tangan generasi baharu,” ujarnya.

Dikenali dengan penemuan rangka Perak Man serta penyelidikan di Lembah Lenggong, beliau turut berperanan dalam usaha membawa tapak itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012.

Bagi Ts. Dr. Mohamad Fitri Mohamad Haris, kejayaan meraih Anugerah Seni dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan) bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanan akademik, tetapi juga terhadap perjuangan lebih dua dekadnya dalam dunia seni nasyid dan hiburan Islam.

Pensyarah muda dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengakui tidak menyangka namanya tersenarai sebagai penerima anugerah berprestij tersebut.

“Saya pun tak jangka sebenarnya dapat anugerah ini kerana penglibatan saya bermula dalam industri nasyid. Tapi mungkin selepas 23 tahun berkarya dan membawa konsep hiburan Islam ke dalam konteks akademik, saya layak diberi kepercayaan ini,” katanya.

Dr. Fitri dikenali sebagai antara figura yang memperkenalkan modul Islamic Popular Music dan konsep “halal entertainment” bukan hanya di Malaysia, tetapi juga ke peringkat antarabangsa termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Saya cuba mempromosikan hiburan Islam bukan hanya kepada khalayak Muslim, tapi juga bukan Muslim supaya mereka faham bahawa hiburan Islam ini bersifat universal dan beretika,” jelasnya anggota kumpulan nasyid UNIC itu.

Berpengalaman 12 tahun dalam dunia akademik, namun 23 tahun dalam industri muzik, beliau melihat kemenangan ini sebagai satu tanggungjawab besar untuk terus memperkukuh jambatan antara seni dan ilmu.

“Saya rasa bersyukur, ini satu penghormatan dan juga amanah. Tidak mudah seimbangkan antara akademik dan industri tapi saya bertuah ada ekosistem yang menyokong, universiti, rakan industri dan komuniti seni,” ujarnya.

Dalam menghadapi cabaran dunia digital dan kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), beliau menekankan pentingnya ilmu dan kesedaran agar kemajuan itu tidak menjauhkan manusia daripada nilai sebenar seni serta ilmu.

“Saya sokong kemajuan digital dan AI, tapi paling penting ialah bagaimana kita gunakannya untuk jadi insan yang lebih baik dan berguna,” pesan Dr. Fitri.

Sementara itu, usaha menjadikan bilik kuliah sebagai ruang melatih pelajar berfikir secara kreatif dan inovatif, bukan sekadar menghafal formula membawa Prof. Dr. Haslinda Ibrahim sebagai penerima Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen).

Menurutnya, beliau memperkenalkan kaedah Explore, Discover dan Develop yang dicipta sendiri sejak 2018 bagi menjadikan pembelajaran matematik lebih interaktif dan relevan.

Melalui teknik ini, pelajar diajar mengenal pasti masalah, meneroka penyelesaian, dan membangunkan idea baharu secara sistematik, satu kemahiran yang diterapkan untuk diaplikasikan dalam dunia sebenar.

“Bidang matematik bukan hanya tentang nombor. Ia melatih cara berfikir yang kritikal dan tersusun, dan inilah kemahiran yang diperlukan oleh industri hari ini,” katanya yang juga dari UUM.

Pendekatan itu jelasnya, memberi kesan langsung kepada pembentukan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat sama ada dalam pendidikan, komuniti atau teknologi.

“Kalau pelajar dapat faham cara berfikir dengan betul, mereka akan lebih bersedia menghadapi cabaran pekerjaan dan menyelesaikan masalah kehidupan sebenar,” ujarnya.

Menariknya, pendekatan tersebut turut mengubah persepsi pelajar terhadap subjek matematik.

“Awalnya bila saya tanya apa itu matematik, mereka jawab ‘nombor’. Tapi di akhir semester, mereka tulis ‘love’ dan ‘life’. Itu momen paling berharga bagi saya,” kongsinya lagi.

Dua lagi penerima Anugerah Pengajaran ialah Dr. Manraj Singh Cheema (Kelompok Sains Kesihatan) dan Dr. Rahimah binti Jamaluddin (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan), kedua-duanya dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Manakala bagi dua penerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, mereka ialah Prof. Madya Dr. Gan Wee Chen (Bidang Sains) dari Universiti Xiamen Malaysia dan Prof. Madya Dr. See Kok Fong (Bidang Sains Sosial & Sastera) dari USM.

Di bawah Anugerah Penerbitan Buku dan Anugerah Inovasi & Pengkomersialan Produk, penerimanya ialah Prof. Madya Dr. Norhayati Mohd Noor serta Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari USM.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman selain Naib-Naib Canselor universiti awam dan ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah KPT.

Share207Tweet129SendShare

Related Posts

Firdaus Wong Tegur Video Tahun Baru Cina Pelabuhan Klang, Persoal Unsur “God Of Wealth”

Firdaus Wong Tegur Video Tahun Baru Cina Pelabuhan Klang, Persoal Unsur “God Of Wealth”

14/02/2026
0

KLANG – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, menegur penyertaan individu Muslim dalam sebuah video sambutan Tahun Baru Cina melibatkan...

Suatu Malam Yang Sejuk….

Suatu Malam Yang Sejuk….

14/02/2026
0

Pada jam 2:28 pagi, di sebuah jalan berais di Manitoba, Kanada....kamera pengawasan merakam satu adegan seperti dalam filem… tetapi ia...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd