KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan satu sidang media khas petang ini bagi menjelaskan kes kematian seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Selangor tengah hari tadi.
Sidang media itu akan dikendalikan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad yang akan berlangsung pada jam 5 petang ini di ibu pejabat KPM di Putrajaya.
BH sebentar tadi melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan susulan kejadian bunuh membabitkan pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di Petaling Jaya, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi tadi di luar kelas dalam kawasan sekolah, dengan setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Kejadian membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang meninggal dunia, dan setakat ini kita tidak dapat memastikan motif sebenar kejadian ini,” katanya.
“Tangkapan sudah dibuat dan insya-Allah Ketua Polis Selangor akan memberikan butiran lanjut mengenai perkara itu,” katanya.,
Mohd Khalid memaklumkan identiti suspek tidak boleh didedahkan kerana masih di bawah umur.
Suspek yang juga pelajar Tingkatan Dua itu dikatakan membawa senjata tajam iaitu pisau, sebelum menikam mangsa.
BHonline-


