BALING: Dua anggota polis yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang meninggal dunia akibat serangan jantung akan didakwa di Mahkamah Baling, esok.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, kertas siasatan sudah pun dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan terhadap dua suspek di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan terhadap lelaki terbabit.
Beliau berkata, polis memandang serius kes ini dan menyeru orang ramai untuk memberi maklumat serta membantu pihak polis untuk membanteras jenayah dengan menyalurkan sebarang maklumat melalui talian MERS 999 atau balai polis berhampiran.
Media sebelum ini melaporkan, dua anggota polis berusia 24 dan 27 tahun ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes pemerasan terhadap seorang lelaki yang meninggal dunia akibat serangan jantung.
Dua anggota polis terbabit ditahan selepas ibu lelaki berkenaan yang berusia 74 tahun membuat laporan polis selepas anaknya yang berusia 32 tahun mengadu yang dia ditahan polis yang menaiki motosikal dan diminta menyerahkan wang sebanyak RM200 pada 19 September lalu.
Bagaimanapun, ketika si ibu dan anaknya hendak menghantar wang itu, lelaki itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
BHonline-


