KUALA LUMPUR: Lima sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mendedahkan detik hitam ketika berada dalam tahanan Israel, termasuk diperlakukan secara tidak berperikemanusiaan, dihina dan dinafikan hak asasi.
Mereka membuat pendedahan itu menerusi video yang dikongsikan peguam Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar, dalam Facebook beliau, hari ini.
Pendakwah, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, berkata beliau telah dibogelkan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh penahanan itu.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika di atas kapal, pusat imigresen serta penjara, semata-mata kerana pihak berkuasa Israel mendakwa mahu memastikan tiada senjata disembunyikan.
“Tindakan itu jelas menunjukkan ketakutan melampau mereka (rejim Zionis) terhadap peserta GSF,” katanya yang turut mendedahkan beliau disoal siasat dengan nada provokatif berkaitan Hamas dan Ikhwanul Muslimin.
Aktivis, Iylia Balqis Suhaimi menceritakan bagaimana beliau dan beberapa aktivis lain disumbat ke dalam sel sangat kecil bersama 15 orang dari pelbagai negara.
Selain itu, beliau berkata, peserta GSF juga berulang kali diganggu oleh tentera Israel yang memanggil nama mereka tanpa sebab.
“Lebih teruk lagi, kami tidak diberikan air bersih dan terpaksa minum air daripada tandas.
“Ada cerita bahawa peserta jatuh sakit dan cirit-birit kerana air itu. Doktor pula tidak dibenarkan masuk dan semua janji rawatan hanyalah palsu,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan terbabit, Sul Aidil Sudi, berkata mereka diperlakukan seperti bukan manusia, selain diprovokasi dengan pelbagai soalan yang dianggap tidak bermanfaat dan menampakkan kebodohan tentera Israel.
“Saya ditanya kenapa datang ke sini (menyertai misi GSF), apa tujuan saya… apabila saya jawab untuk misi kemanusiaan, mereka sindir kata kami tidak bawa apa-apa bantuan… panggil kami bodoh.
“Mereka sengaja memprovokasi, kacau mental, tidak bagi kami berehat langsung… itulah perangai haram Israel,” katanya.
Haikal Abdullah turut mengesahkan sukarelawan bukan saja diejek dan ditertawakan setiap kali nama mereka disebut, malah barangan peribadi turut dicampak serta dibuang sesuka hati oleh pihak rejim Zionis.
“Kami duduk lima jam dalam bas yang sejuk dengan tangan diikat dan mata tertutup. Mereka suruh tukar pakai baju lengan pendek dan menyeksa kami. Ada meminta diperlahankan ‘aircond’ (pendingin hawa) tetapi mereka tidak layan.
“Bila malam, mereka kejut dan pindahkan kami ke sel lain. Asalnya sel itu 12 orang, bertambah jadi 24 orang. Mereka memang kacau mental supaya kami penat dan balas tindakan itu,” katanya.
Sementara itu, Nurfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee turut menceritakan pengalaman tidak diberi air minuman bersih sepanjang tempoh berada dalam tahanan Israel.
Apabila sukarelawan memprotes dan menuntut air minuman bersih, beliau berkata, mereka diancam dengan kekerasan.
“Saya ditarik dan diseret oleh tentera wanita sebelum ditolak serta dimalukan di hadapan tahanan lain.
“Kami hanya meminta hak asasi kemanusiaan untuk mendapat air minuman bersih sebab ada yang sudah macam nyawa-nyawa ikan kerana dehidrasi,” katanya.
Mereka adalah antara 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel pada Khamis lalu serta dibawa ke Penjara Ketziot di Gurun Negev sebelum dibebaskan, kelmarin, dan kini berada di Istanbul, Turkiye.
-Berita Harian


