ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak pasti pihak mana yang menerima dana didakwa disalurkan BERSATU kepada PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sehubungan itu beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) mahu kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad diperjelaskan dengan lebih teliti.
“Tanya dia, dia bagi kat siapa duit tu?” katanya ringkas ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Marzuki berhubung pembiayaan kempen PN pada PRU lalu.
Terdahulu, Marzuki melalui perkongsian di Facebook menegaskan segala perbelanjaan pilihan raya PN ditanggung sepenuhnya oleh BERSATU, termasuk sumbangan kewangan kepada PAS.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua peralatan pilihan raya menggunakan logo PN ketika itu disediakan BERSATU, sekali gus membantu PAS meraih kemenangan 43 kerusi Parlimen sekali gus menjadi pencapaian terbesar parti itu dalam sejarah politiknya.
Muhammad Sanusi ketika penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-71 semalam mendakwa parti itu terpaksa membiayai sendiri peralatan pilihan raya, malah mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU) untuk parti rakan dalam PN.
“Semua peralatan kita bayar, mereka datang bertanding saja. Lepas itu, nak jadi ketua tapi duit tak ada dan jentera pun tak ada. Jangan sampai kita ungkit semua,” katanya sebelum ini.
Marzuki bagaimanapun bersetuju dengan Muhammad Sanusi dan mengakui kos pilihan raya memerlukan dana besar malah menyifatkan RM1 juta bagi satu kerusi Parlimen adalah jumlah minimum untuk menampung keseluruhan perbelanjaan.
BHonline-


