JOHOR BAHRU – Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, menunaikan solat Maghrib dan solat hajat bersama pasukan Harimau Malaya serta skuad bola sepak kebangsaan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar.
Menerusi perkongsian di Instagram, baginda yang merupakan Pemangku Sultan Johor memaklumkan turut menyerahkan sumbangan peribadi dan mewakili Kerajaan Negeri Johor yang berjumlah RM2.5 juta kepada Tabung Prihatin Johor-Palestin.

Sumbangan itu bertujuan menyalurkan bantuan kemanusiaan dan pembangunan bagi meringankan beban rakyat Palestin yang berdepan krisis berpanjangan.
“Saya juga secara peribadi menyumbang dan menyerahkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Johor melalui Tabung Prihatin Johor-Palestin untuk keperluan kemanusiaan dan pembangunan Palestin. Allahuakbar,” titah baginda dalam hantaran tersebut.

Turut kelihatan dalam majlis berkenaan adalah barisan kepimpinan negeri, pemain bola sepak serta jemaah yang hadir menzahirkan sokongan terhadap usaha solidariti bersama Palestin.
Langkah baginda ini sekali lagi membuktikan komitmen Johor dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin melalui tindakan nyata, bukan sekadar kata-kata.
-MYNEWSHUB


