BATU PAHAT: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan seorang sami untuk membela diri atas pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan dalam kebun sawit pada 2021.
Hakim Harmi Thamri Mohamad membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Pechimuthu Vethumalay, 53.
Harmi Thamri berkata, ia setelah mahkamah mendengar keterangan saksi dan membaca hujahan bertulis pihak pendakwaan, selain hujahan lisan serta hujahan balas kedua-dua pihak.
“Mahkamah telah meneliti dan menilai semua keterangan secara maksimum.
“Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi pertuduhan dikenakan terhadapnya.
“Sehubungan itu, tertuduh dipanggil membela diri sama ada secara berdiam diri atau memberi keterangan secara tidak bersumpah dari kandang ataupun keterangan bersumpah dari kandang,” katanya.
Tertuduh kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang serta mengemukakan empat saksi, termasuk dirinya.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Oktober depan untuk prosiding bela diri dan membenarkan ikat jamin RM10,000 yang dikenakan sebelum ini dilanjutkan.
Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun (ketika kejadian) dalam kebun sawit di Jalan Yong Peng-Labis kira-kira jam 3 petang 28 September 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.
Berdasarkan laporan polis dibuat ibu mangsa, kejadian didakwa berlaku ketika pelajar itu mahu mendapatkan rawatan sami berkenaan untuk tujuan berjaya dalam pelajaran.
Sebelum itu, tertuduh didakwa memberitahu keluarga mangsa supaya menyiapkan pelita daripada tanah liat untuk upacara berkenaan.
Mangsa kemudian dikatakan dibawa ke kebun sawit kononnya untuk menjalani upacara itu sebelum mendakwa dirogol oleh tertuduh.
BHonline-


