PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan anak warga Australia, Annapuranee Jenkins atau Anna Jenkins, untuk mengembalikan saman kecuaian terhadap sebuah syarikat pembangunan hartanah dan pengurus projek berhubung penemuan rangka mendiang di sebuah tapak pembinaan di Pulau Pinang.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Faizah Jamaludin, membuat keputusan sebulat suara itu dengan menyatakan Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah dalam memutuskan untuk membatalkan saman itu.
“Keputusan untuk membatalkan tindakan terhadap kedua-dua responden adalah wajar.
“Oleh itu, rayuan ditolak dan perayu diarahkan membayar kos RM5,000 kepada setiap responden,” kata Che Mohd Ruzima.
Anak mendiang, Gregory Steven Jenkins, memfailkan saman pada Ogos 2023 terhadap Berjaya Land Development Sdn Bhd dan pengurus projeknya, Terrence William Theseira, dengan mendakwa mereka terbabit dalam menyembunyikan penemuan rangka ibunya yang hilang sejak 2017 ketika bercuti di Pulau Pinang.
Bagaimanapun pada Mac 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Berjaya Land Development dan Theseira untuk membatalkan saman itu.
Hakim Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa Gregory tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu terhadap kedua-dua defendan.
Namun, kes saman terhadap Kerajaan Malaysia, polis dan pekerja landskap, Kew Kee Seng, masih diteruskan di Mahkamah Tinggi dan kini berada pada peringkat perbicaraan.
Sebelum ini, satu inkues telah dijalankan berhubung kes kematian Anna.
Pada 12 Mei 2023, Koroner Norsalha Hamzah memutuskan bahawa tiada keterangan mencukupi untuk menentukan punca, sifat atau sebarang unsur jenayah dalam kematian Anna.
Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Georgetown pada 28 April 2025 apabila Hakim Rofiah Mohamad mendapati tiada bukti konklusif bagi mengklasifikasikan kematian Anna sebagai kes pembunuhan.
Mayat Anna ditemui pada 24 Jun 2020, hampir tiga tahun selepas kehilangan wanita itu secara tiba-tiba pada 2017 ketika bercuti di Pulau Pinang.
Gregory diwakili oleh peguam, Datuk Sankara Nair dan Narendran Letchiemanan, manakala Berjaya Land serta Theseira diwakili peguam, Ong Yu Shin dan Lim Wooi Ying.
-Berita Harian


