KOTA KINABALU: Ketua Warden asrama, Azhari Abd Sagap menafikan ada mengeluarkan arahan untuk menutup suis telefon awam di asrama selepas insiden Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Pada prosiding inkues kematian arwah itu hari ini, beliau menjelaskan hanya memberi arahan melalui kumpulan Whatsapp warden dan seorang lagi guru supaya mengharamkan pelajar membuat panggilan telefon pada hari berkenaan.
Katanya, secara keseluruhan ada enam telefon awam di asrama perempuan, iaitu masing-masing tiga di setiap blok, manakala ada tiga lagi telefon awam di bangunan sekolah.
Beliau memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Koroner selepas ditanya pegawai pengendali inkues, Mohd Fairuz Johari mengenai dakwaan penutupan suis telefon awam asrama pada hari kejadian.
Mohd Fairuz: Selepas kejadian, siapa arah telefon awam ditutup?
Azhari: Saya tiada arah, cuma pada 16 Julai saya maklumkan dalam group Whastapp warden dan seorang guru, ayat saya ialah haramkan pelajar buat panggilan telefon hari ini (pada 16 Julai). Itu ayat saya dalam Whatsapp.
Mohd Fairuz: Jadi, disebabkan arahan cikgu, suis telefon awam ditutup?
Azhari: Itulah mungkin pemahaman aunty Linah (pengawal keselamatan).
Mohd Fairuz: Kenapa cikgu buat begitu?
Azhari: Supaya ibu bapa tidak risau anak mereka di asrama. Itulah tugas saya sebenarnya, dan saya tidak mahu ada berita tidak sahih keluar.
Mohd Fairuz: Berapa lama telefon ditutup?
Azhari: Saya tidak pasti, cuma arahan saya hari itu saja. Saya sebut ‘hari ini’, arahan kepada warden dan seorang guru untuk sampaikan kepada pelajar.
Mohd Fairuz: Jadi, kalau ada kecemasan pada hari itu macam mana hubungi ibu bapa?
Azhari: Pelajar boleh berhubung dengan ibu bapa melalui guru dan memang ada pelajar dibenarkan balik disebabkan sakit dan pada masa itu ada seorang pelajar nenek dia nazak, jadi kita benarkan balik.
Sementara itu, saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu berkata, ada beberapa pelajar minta kebenaran untuk balik selepas kejadian tetapi hanya dua orang dan ia berlaku pada 17 Julai.
Mengenai pelajar tidak dibenarkan pulang pada malam 17 Julai, Azhari berkata tidak pasti siapa yang membuat keputusan mengenai larangan itu kerana dia dalam perjalanan ke tanah perkuburan untuk pengebumian jenazah arwah Zara di Sipitang.
“Pada masa itu saya dalam perjalanan ke kuburan di Sipitang, saya dapat makluman daripada pengawal keselamatan bahawa pelajar tidak dibenarkan balik.
“Saya tidak pasti siapa buat keputusan, tapi jika ada pelajar sakit atau ada kecemasan, kami memang benarkan balik,” katanya.
Sementara itu, Azhari memberitahu Mahkamah Koroner bahawa laporan polis hanya dibuat pada jam 8 pagi 16 Julai lalu kerana tidak terlintas menghubungi polis ketika kejadian berlaku.
Katanya, keutamaan beliau pada masa itu adalah untuk menyelamatkan nyawa arwah Zara Qairina.
Mohd Fairuz: Laporan polis dibuat jam 8 pagi, ada panggilan kepada polis sebelum itu?
Azhari: Tiada, sebab kami mahu selamatkan zara, itu yang terlintas di fikiran pada masa itu. Buat laporan polis pun atas arahan doktor Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Mohd Fairuz: Tahu ini perkara serius?
Azhari: Ya
Mohd Fairuz: Kenapa tiada cikgu lapor kepada polis?
Azhari: Keutamaan saya pada masa itu untuk selamatkan Zara, keselamatan Zara.
BHonline-


