Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner di sini mengekalkan keputusan tidak membenarkan media berada di dalam kamar mahkamah ketika saksi kanak-kanak memberi keterangan bagi inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, berkata Koroner Amir Shah Amir Hassan membangkitkan perkara itu ketika prosiding petang tadi.
“Pegawai pengendali sudah mendapatkan arahan daripada ibu pejabat bahawa media tidak akan dibenarkan mengikuti inkues ini atas beberapa sebab.
“Koroner membuat keputusan itu kerana saksi terbabit adalah kanak-kanak dan mereka perlu dilindungi,” katanya kepada media selepas prosiding inkues hari ke-14.
Shahlan berkata, kebanyakan peguam, kecuali yang mewakili bapa Zara Qairina, mahu media berada di dalam kamar mahkamah.
Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada lima kanak-kanak yang dikaitkan dengan Zara Qairina, turut menyuarakan sentimen sama agar media dibenarkan berada di dalam kamar mahkamah.
“Kami mahukan pelaporan yang bertanggungjawab (mengenai inkues ini), supaya orang ramai mendapat berita yang betul, bukannya maklumat tidak sahih dari sana sini,” katanya yang menambah maklumat tidak disahkan akan membawa kepada spekulasi.
Bagaimanapun, rakan sekerja Goh, Datuk Ram Singh berkata, media masih boleh mendapatkan kemas kini dan maklumat daripada peguam yang terbabit dalam inkues itu.
Hari ini, prosiding untuk mencari fakta berkaitan kematian Zara Qairina memasuki hari ke-14.
Seramai 11 saksi, termasuk tiga kanak-kanak, sudah memberi keterangan.
Minggu depan, dokumen baharu berkaitan tulisan tangan Zara Qairina akan dikemukakan kepada mahkamah.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya.
-Harian Metro


