KOTA KINABALU: Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, bahawa ‘Kak M’ membuat kenyataan ‘berbaur ugutan’ terhadap arwah Zara Qairina Mahathir dan seorang lagi pelajar kerana emosinya tidak stabil.
Azhari berkata, ‘Kak M’ didakwa mengeluarkan kata-kata ‘Kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni’ selepas mengetahui adik perempuannya dikatakan diejek oleh Zara Qairina dan seorang lagi pelajar itu.
“Seperti yang saya katanya, Kak M berada dalam keadaan emosi tidak stabil. Dia memberitahu kami, ia kerana biliknya semak dan kotor. Itulah sebabnya dia cakap begitu, itu saja,” katanya.
Azhari berkata, ‘Kak M’ berkata demikian ketika lalu di hadapan bilik adik perempuannya yang sedang berjumpa Zara Qairina dan seorang lagi pelajar ketika itu.
Beliau berkata, Zara Qairina dan pelajar lain itu didakwa mengejek adik perempuan ‘Kak M’ yang berada di Tingkatan Dua, dengan menulis nota: ‘Dia seorang yang sok orku, sengaja takutkan Form 1, padahal baru juga junior’.
Katanya, nama panggilan adik Kak M itu juga disebut dalam bukti yang telah diserahkan kepada polis.
Peguam, Joan Goh yang mewakili seorang daripada tertuduh kanak-kanak dalam kes berkait Zara Qairina, bertanya kepada Azhari mengenai maksud ‘sok sok’ dan ‘orku.’
Azhari menjelaskan bahawa ‘sok sok’ bermaksud ‘acah atau berlagak’, manakala ‘orku’ pula akronim kepada ‘orang kuat.’
Sebelum ini, warganet menuduh ‘Kak M’ sebagai individu yang membuli Zara Qairina.
Ia susulan tular rakaman audio perbualan antara Zara Qairina dengan ibunya, dalam media sosial.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di tingkat bawah bangunan asrama, sebelum meninggal dunia pada keesokannya.
-Harian Metro


