SHAH ALAM – Sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berada di Sicily, Itali kini melanjutkan pelayaran mereka ke Gaza, Palestin.
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran Instagram milik Sumud Nusantara pada Sabtu.
Video tersebut turut memperlihatkan kehadiran orang ramai yang meraikan pemergian kapal sukarelawan sebagai tanda sokongan untuk misi kemanusiaan mereka sambil mengibarkan bendera Palestin.
Satu lagi video turut memaparkan temu bual salah seorang sukarelawan Pakistan dikenali sebagai Ismail yang turut menyertai misi ke Gaza.
“Ini bukan soal saya pergi ke Gaza, tetapi soal umat Islam seluruh negara yang terus memberi sokongan kepada rakyat Palestin tanpa henti.
“Insya-ALLAH, dengan doa dan suara orang ramai, kita akan selamat Gaza dan menghentikan genosid yang berlaku di negara tersebut,” katanya dalam hantaran Instagram milik Sumud Nusantara pada Sabtu.
Sebelum ini, sukarelawan misi GSF yang kini berada di Sicily sedang membuat persiapan untuk belayar ke Sirakusa terlebih dahulu sebelum bertolak ke Gaza.
Setiausaha Agung Muslim Care Malaysia (MCM), Ahmad Safuan Ujar berkata, peserta GSF dari Malaysia sudah mula ditempatkan di dalam bot serta berkenalan dengan kapten dan kru masing-masing.
GSF yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.
-Sinar Harian


