Dengan jangkaan peningkatan kes influenza menjelang hujung tahun, warga emas diseru untuk mendapatkan vaksinasi di klinik GP atau melalui Program Khas Vaksinasi Influenza Kementerian Kesihatan Malaysia
PETALING JAYA, 1 OKTOBER 2025 – Antara perkara terbaik yang boleh dilakukan sempena Hari Warga Emas Sedunia ialah mendapatkan suntikan vaksin influenza, terutamanya dengan jangkaan peningkatan kes influenza pada musim cuti hujung tahun dan musim pengembaraan.
Tindakan mudah ini dapat mengurangkan risiko penyakit serius, kemasukan ke hospital akibat influenza serta kematian.
Seruan ini turut disokong oleh Malaysian Influenza Working Group (MIWG) dan pengamal perubatan am (GP) di seluruh negara.
Klinik GP di seluruh negara bersedia memberikan vaksinasi kepada warga emas dengan bayaran yang berpatutan.
Sementara itu, Program Khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyediakan vaksinasi influenza percuma untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik (tertakluk kepada ketersediaan) di Klinik Kesihatan – janji temu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.
Influenza, Satu Beban Serius untuk Warga Emas
Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), warga emas merangkumi sehingga 70% kemasukan ke hospital berkaitan influenza dan 90% daripada kematian berkaitan influenza.
“Influenza boleh mencetuskan komplikasi serius termasuk pneumonia, serangan jantung dan strok,” kata Profesor Dr Zamberi Sekawi, Pengerusi MIWG.
“Bagi mereka yang sedia menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit jantung, jangkitan influenza boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada dan membawa kepada hasil yang mengancam nyawa.”
Tidak seperti orang dewasa muda, simptom influenza dalam kalangan warga emas sukar dikesan dan sering kali hanya dikenal pasti apabila pesakit sudah memerlukan rawatan di hospital.
“Selain demam dan batuk, warga emas mungkin menunjukkan gejala seperti pening yang boleh menyebabkan jatuh atau kekeliruan serta delirium.
Pada ketika mereka menyedari ia adalah influenza, pesakit mungkin sudah dimasukkan ke hospital dengan komplikasi serius,” jelas Profesor Dr Tan Maw Pin, Pakar Perunding Geriatrik dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Influenza dan Warga Emas MIWG.
Beliau turut memberi amaran bahawa influenza bukan sahaja mengancam kesihatan tetapi juga menjejaskan kualiti hidup.
“Apabila warga emas dimasukkan ke hospital atau terpaksa berehat lama di atas katil akibat influenza, mereka boleh kehilangan kekuatan otot dan pergerakan.
Kemerosotan ini mungkin tidak dapat dipulihkan, menjadikan mereka tidak mampu melakukan tugas harian tanpa bantuan. Akibatnya, mereka sering mengalami kemurungan dan kehilangan rasa berdikari.
Pada masa yang sama, keluarga turut berdepan beban kewangan yang berat, bukan sahaja daripada kos rawatan hospital tetapi juga kehilangan pendapatan apabila penjaga perlu mengambil cuti kerja.”
Vaksin Influenza Adalah Selamat
Vaksin influenza telah digunakan secara selamat selama lebih 70 tahun, melindungi berjuta-juta orang di seluruh dunia setiap tahun.
Pihak berkuasa kesihatan termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), CDC, dan KKM mengesyorkan suntikan tahunan bagi mengurangkan penyakit teruk serta mencegah komplikasi serius influenza yang boleh mengakibatkan kemasukan ke hospital atau kematian.
Kajian menunjukkan bahawa vaksinasi dalam kalangan warga emas dapat mengurangkan risiko komplikasi berkaitan influenza seperti pneumonia, serangan jantung, dan strok.
Penyelidikan terkini juga mencadangkan bahawa suntikan influenza dapat mengurangkan risiko dementia dalam kalangan warga emas, terutamanya apabila vaksinasi dilakukan secara tahunan.
Oleh kerana virus influenza secara semula jadi berubah dari semasa ke semasa, vaksinasi tahunan diperlukan bagi memastikan tubuh bersedia melawan strain yang sedang beredar.
“Meskipun anda telah divaksin tahun lalu, anda masih memerlukan suntikan baharu setiap tahun untuk kekal dilindungi,” ujar Prof Dr Zamberi.
“Vaksinasi tahunan kekal sebagai salah satu cara paling berkesan untuk membantu warga emas mengekalkan kesihatan, berdikari, dan kualiti hidup mereka.”
Bertindak Sekarang untuk Mencegah Influenza
Pakar menasihatkan warga emas supaya bertindak segera dan tidak menunggu sehingga kes influenza mula meningkat.
“Dengan musim hujung tahun yang semakin hampir dan penularan influenza biasanya meningkat akibat pengembaraan serta perhimpunan, inilah masanya untuk warga emas mendapatkan vaksinasi,” tegas Prof Dr Zamberi.
“Sila manfaatkan vaksinasi percuma yang disediakan oleh KKM selagi stok masih ada. Jika stok percuma tidak lagi tersedia, jangan bimbang, klinik GP di seluruh negara turut menawarkan vaksin influenza dengan bayaran yang berpatutan. Jangan tunggu sehingga terlambat.”
Sempena Hari Warga Emas Sedunia, pencegahan influenza menonjol sebagai cara mudah tetapi berkesan untuk warga emas melindungi kesihatan dan terus menikmati kehidupan yang bermakna dengan kekuatan, ketabahan dan ketenangan fikiran.
Dikeluarkan oleh
MALAYSIAN INFLUENZA WORKING GROUP
Kumpulan Kepentingan Khas di bawah Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia
MYNEWSHUB


