KUALA LUMPUR: Gagal mengemukakan dokumen perjalanan seperti pasport atau pas berkaitan boleh mengakibatkan warga asing ditahan semasa pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Basri Othman berkata, ramai warga asing khususnya yang bekerja di Malaysia memberi alasan ‘pasport pada majikan’ ketika ditahan.
“Nasihat saya kepada majikan, pastikan pasport dan dokumen fizikal berkaitan milik pekerja ada pada pekerja masing-masing atau pun berada berhampiran tempat kerja.
“Perkara ini memudahkan mereka juga, sekiranya pemeriksaan dilakukan dan dokumen itu ada, maka pekerja mereka tidak ditahan dan tidak mengganggu operasi syarikat terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pekerja asing yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah ketika diperiksa akan ditahan dan dibawa ke depoh tahanan untuk semakan walaupun mereka sebenarnya bekerja secara sah.
“JIM sentiasa menjalankan pemantauan dan operasi bukan untuk menyusahkan pengusaha perniagaan sebaliknya bagi memastikan keselesaan dan keselamatan orang ramai terjamin.
“Kepada majikan yang menggajikan warga asing, pastikan setiap dokumen dan pas berkaitan lengkap bagi memudahkan urusan pemeriksaan,” katanya.
Pada masa sama Basri turut memberi amaran kepada majikan dan semua pihak yang berkaitan supaya tidak menggajikan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Katanya, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen dan tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada warga tempatan yang melindungi PATI.
-Berita Harian


