SEGAMAT: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri belum dapat menentukan sama ada retakan yang dikesan di daerah ini mempunyai kaitan dengan beberapa siri gempa bumi lemah yang berlaku sebelum ini.
Pengarahnya, Noorazhar Ngatimin, berkata kaitan itu barangkali lebih kepada kemungkinan, memandangkan ia berlaku di lapisan lebih lembut, bukannya pada lapisan batuan keras.
Mengulas ujian resistiviti dijalankan, katanya ia bertujuan mendapatkan data cepat bawah permukaan bagi profil atau lapisan batuan dan mengesan kehadiran retakan.
Beliau berkata, kajian singkat hanya membabitkan profil dua dimensi (2D) sepanjang 200 meter dan hanya dapat mengesan sekadar kedalaman 30 hingga 35 meter.
“Ia (ujian dijalankan) tidak menganalisis gegaran, justeru JMG tidak akan dapat menganggarkan akan berlakunya gegaran seterusnya rekahan.
“Kesan retakan yang dicerap menunjukkan ia berlaku di lapisan lebih lembut bukan lapisan batuan keras,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Noorazhar bersama pegawai JMG Johor melakukan lawatan ke rumah seorang penduduk di Jalan Buloh Kasap, Batu 2, di sini susulan wujud rekahan yang dikaitkan gempa bumi lemah yang berlaku sejak 24 Ogos lalu.
Setakat ini, enam gempa susulan direkodkan dan kali terakhir pada 30 Ogos lalu dengan kekuatan 2.7 magnitud serta kedalaman 10 kilometer.
Keadaan cuaca kering ketika ini turut menyumbang rekahan tanah, termasuk geologi yang mendasari kawasan juga perlu diambil perhatian dalam menentukan punca kesan rekahan yang berlaku.
Sekumpulan penyelidik termasuk daripada JMG Johor, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga turun ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal berhubung aduan penduduk.
BHonline-


