Bahaya Kabel Halus di Laluan Kampung Puyut, Rider Cedera Ringan
Lahad Datu, 28 Sept – Orang ramai khususnya penunggang motosikal diingatkan agar berhati-hati menggunakan laluan naik bukit dari arah Kampung Puyut, selepas dilaporkan terdapat kabel halus atau tangsi tidak dikenal berjuntai di tengah jalan.
Dalam insiden terbaru, seorang rider penghantar makanan Food Panda mengalami kecederaan ringan pada bahagian leher dan tangan selepas terkena kabel berkenaan ketika melalui laluan tersebut.
Mangsa dilaporkan sempat memberhentikan motosikalnya sebelum mengalami kecederaan lebih serius.
Walau bagaimanapun, kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya yang bimbang ia mungkin perbuatan khianat atau cubaan sabotaj.

Amaran kepada pengguna jalan raya
Pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat menasihatkan agar semua penunggang motosikal lebih berhati-hati, terutamanya pada waktu malam atau ketika melalui kawasan yang kurang pencahayaan.
Orang ramai juga digesa melaporkan segera kepada pihak polis atau ketua kampung sekiranya ternampak kabel atau objek mencurigakan di laluan berkenaan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Insiden seperti ini boleh mendatangkan kecederaan parah, malah berpotensi mengancam nyawa sekiranya tidak ditangani segera.-MYNEWSHUB
Kredit: Info Lahad Datu


