Kuala Terengganu: Warga emas yang juga pesara swasta kerugian RM76,740 apabila terjerat dengan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang juga seorang bekas pekerja minyak dan gas berusia 62 tahun.
Katanya, pada 24 Ogos lalu kira-kira jam 10 pagi ketika mangsa berada di kediamannya melihat satu iklan pelaburan saham di laman Facebook dan mangsa yang berminat lalu menekan pautan yang tertera pada iklan berkenaan.
Menurutnya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum seorang individu memperkenalkan diri sebagai Mazlinna bertindak sebagai tenaga pengajar di dalam kumpulan berkenaan kononnya sebagai pemudah cara pelaburan dijalankan.
Beliau berkata, mangsa kemudian dikehendaki membuat pembayaran untuk melakukan pelaburan ke beberapa akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM76,740.
“Semua pindahan wang itu dilakukan bermula pada 24 Ogos hingga 18 September lalu, namun tiada sebarang keuntungan diperoleh mangsa malah dia diminta membuat tambahan modal dan dijanjikan dengan kadar keuntungan berlipat kali ganda.
“Pengadu mulai curiga dan mengesyaki ditipu sebelum membuat laporan polis kira-kira 2.47 petang semalam,” katanya yang menambah sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan miliknya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-Harian Metro


