ALOR SETAR: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mendapati beliau bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah.
Pada masa sama, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu proses rayuan selesai.
“Saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Pada masa sama, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.
“Bagaimanapun, setelah meneliti keputusan bersama pasukan guaman, saya berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.
“Justeru, saya telah mengarahkan peguam untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saifuddin menegaskan kekal berpegang kepada prinsip keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi di negara ini.
“Sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, saya percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang adil bagi saya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.
“Saya ingin menegaskan bahawa segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Alor Setar mendapati Saifuddin bersalah memfitnah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada ceramah yang diadakan di Guar Chempedak dan pada majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 2023.
Tuduhan fitnah itu berkait dakwaan Muhammad Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Berikutan itu, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Muhammad Sanusi.
BHonline-


