KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf berhubung kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Muhyiddin berkata, jika Perdana Menteri tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Saya sedar, apa yang berlaku, mungkin sebagai sahabat, beliau juga manusia biasa, cuma jawatan beliau lebih tinggi. Saya pun pernah berada di situ juga dulu.
“Mungkin dah berlaku kesilapan, jadi agak susah untuk Perdana Menteri nak kata “Muhyiddin, maaflah, salah”. Beliau boleh cakap itu saja, OK.
“Jadi, saya cuma nak minta satu perkara daripada Yang Amat Berhormat (YAB) Tambun, mohon maaf saja. Tarik balik kenyataan, saya rela dan akan terima maafnya sekarang juga.
“Jika YAB Tambun tak minta maaf, saya akan bawa perkara ini kepada Speaker (untuk dirujuk) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam sidang Dewan Rakyat Selasa lalu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau menerima laporan ada Ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi, yang kemudian merujuk kepada Ahli Parlimen Pagoh.
Susulan itu, bekas Perdana Menteri itu, menerusi satu perkongsian di media sosial menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Semalam, Perdana Menteri, mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penafian Muhyiddin itu.
Muhyiddin, hari ini, sekali lagi menafikan yang beliau pernah mengeluarkan kenyataan itu.
“Carilah dalam mana-mana dunia siber, tidak ada kenyataan yang saya buat sebegitu,” katanya.
Muhyiddin mendakwa, beliau dimaklumkan bahawa MCMC memanggil beliau untuk mengambil keterangannya sebagai saksi dalam siasatan isu itu.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada siasatan sudah dibuat ke atas Perdana Menteri.
“Bagi saya ini tidak berapa kena. Siasat saya dulu tapi saya sudah keluar kenyataan.
“Kenyataan itu datang daripada beliau sendiri. Kenapa minta MCMC siasat, sumber mana beliau dapat tu?” katanya.
BHonline-


