PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan kajian had umur persaraan wajib untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata kajian itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“JPA akan melaksanakan kajian (mengenai had umur persaraan wajib). Kita akan buat kajian dahulu, (sebab perubahan had umur persaraan) belum dilaksanakan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Syarahan Perdana Keupayaan Negara dan Pertumbuhan Terarah: Pendekatan Berorientasikan Misi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat sebelum ini, kerajaan akan meneliti had umur persaraan wajib untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua.
Perkara itu terkandung dalam prakarsa kesembilan RMK-13 yang memberi penekanan kepada usaha mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk kesemua rakyat.
Perdana Menteri dalam maklum balasnya turut menjelaskan bahawa cadangan itu belum dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan oleh Jemaah Menteri.
Beliau bagaimanapun berpendirian, cadangan itu wajar diberi perhatian dengan isu berkaitan termasuk peluang pekerjaan dan kos wajar diberi pertimbangan.
Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan kerajaan sedang menimbang untuk menaikkan had usia persaraan daripada 60 kepada 65 tahun.
Beliau berkata, perubahan had usia persaraan itu wajar kerana ramai dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas masih aktif.
-Berita Harian


