TELUK INTAN: Empat lelaki dikenakan bon menjaga keamanan selama enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana bergaduh di tempat awam ketika menyertai satu perlawanan bola sepak pada minggu lalu.
Ia selepas Harith Nazreen Shah Abd Ghani, 21; Muhammad Danial Asmawi, 23; R Tharmaraj, 28; dan E Paranitharan, 29; selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, kesemua OKS itu bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan gaduh gempar yang mengganggu ketenteraman awam di Padang Speedy sebagai tempat awam di sini, sekitar jam 5.15 petang hingga 6 petang 7 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi, manakala Harith Nazreen Shah dan Muhammad Danial diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Saravanan; sementara Tharmaraj dan Paranitharan diwakili peguam, Charan Singh serta S Morgan.
Pihak pembelaan memohon hukuman ringan berbentuk denda, antaranya mengambil kira seorang daripada OKS terbabit, iaitu Harith Nazreen Shah sedang menunggu keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Saravanan berkata, pengakuan bersalah OKS juga menjimatkan masa mahkamah, selain meminta mahkamah mengambil kira bahawa mereka yang berselisih faham itu kini sudah menjadi kawan.
Keempat-empat OKS itu kemudian dilihat saling bersalaman tanda bermaafan di hadapan Majistret, disusuli pernyataan Charan bahawa pergaduhan tercetus berikutan sedikit perselisihan faham tetapi masih terkawal.
“Mereka berjabat tangan meminta maaf antara satu sama lain dan memohon mahkamah memberikan satu peluang kepada mereka memandangkan ini adalah kes saman, bukan jenayah.
“Mereka berjabat tangan (bersalaman), justeru menjadi teladan yang baik, di samping mohon mahkamah mengambil kira bahawa ini juga adalah kesalahan pertama bagi semua OKS,” kata Charan.
Nur Darwis bagaimanapun meminta hukuman setimpal ke atas OKS supaya dapat memberi pengajaran kepada orang ramai untuk tidak terbabit pergaduhan ketika bermain bola sepak, dengan mengambil kira video insiden itu turut tular dalam media sosial.
Mahkamah kemudian menetapkan empat OKS itu menyempurnakan bon mengikut Seksyen 66 Kanun Prosedur Jenayah dengan seorang penjamin membabitkan cagaran RM500.
Sementara itu di kamar mahkamah sama, Muhamad Kuzairin Kamaruddin, 31, dihukum denda RM600 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Ia selepas Muhamad Kuzairin mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang pengadil berusia 23 tahun dalam perlawanan bola sepak yang sama pada jam 5.15 petang hari dan lokasi sama.
BHonline-


