KUALA LUMPUR: Bekas atlet wushu kebangsaan, Gjeblehim Bong Teck Fuu, dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan serangan seksual terhadap pelajarnya yang berusia 10 tahun pada 2022.
Teck Fuu, 34, yang berpakaian penjara berwarna hijau dan pelitup muka, kelihatan tenang ketika Hakim Tasnim Abu Bakar menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sebaliknya mengarahkannya mula menjalani hukuman serta-merta.
Tasnim membuat keputusan itu selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan itu pada akhir kes pembelaan dan selepas menimbangkan rayuan hukuman ringan, faktor pemberat pihak pendakwaan, serta kepentingan awam.
“Tertuduh dihukum penjara 13 tahun dan empat sebatan. Dia juga diarah menjalani kaunseling dalam penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan,” katanya.
Tasnim berkata, Teck Fuu memohon penangguhan hukuman atas alasan yakin akan menang dalam rayuan di Mahkamah Tinggi dan bukan risiko melarikan diri memandangkan dia hadir ke semua prosiding mahkamah.
“Mahkamah mendapati tiada keadaan istimewa yang wajar untuk meluluskan penangguhan.
“Bagaimanapun, mahkamah mempunyai budi bicara untuk membenarkan, namun dalam kes ini, tiada keperluan untuk penangguhan pelaksanaan,” katanya.
Teck Fuu yang kini menjalani hukuman penjara bagi kesalahan serangan seksual lain yang sama, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika dibawa keluar dari kamar mahkamah.
Beberapa individu dipercayai ahli keluarganya yang berada di galeri awam kelihatan mengeluh apabila permohonan penangguhan ditolak.
Teck Fuu dibantu seorang jurubahasa Mandarin yang menerangkan kepadanya tentang perjalanan prosiding termasuk hujahan pemberatan dan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.
Teck Fuu didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap mangsa sebagai individu yang berada dalam posisi amanah sebagai jurulatih di sebuah akademi di Jalan Klang Lama pada 13 April 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan itu dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan dikenakan tidak kurang dua sebatan jika didapati bersalah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff berkata tindakan tertuduh mencemarkan maruah dan kesucian mangsa, serta menyebabkan trauma psikologi yang mendalam.
“Mangsa kanak-kanak perlu diberi perlindungan maksimum oleh undang-undang.
Dia telah mempergunakan kepercayaan mangsa sebagai jurulatih wushu, yang sepatutnya menjadi pelindung dan pembimbing, namun sebaliknya menggunakan mangsa untuk memenuhi nafsunya.
“Jadi, mahkamah perlu menjatuhkan hukuman tegas seperti diperuntukkan undang-undang demi kepentingan mangsa, keadilan sosial dan perlindungan menyeluruh terhadap kanak-kanak,” katanya.
Dalam rayuan pengurangan hukuman, peguam bela Tharamjit Singh merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya, memandangkan ibunya hanya menyewa rumah.
BHonline-

