Bagan Serai: Operasi memadam kebakaran di Hutan Tebuk Panchor, Gunung Semanggol, di sini, yang masuk hari ketiga masih diteruskan, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menggunakan beberapa kaedah pemadaman termasuk ground attack dan water bombing menggunakan pesawat.
“Kita turut menambah keanggotaan dan logistik bagi memastikan sisa-sisa tompokan bara dipadamkan sepenuhnya agar tidak merebak atau berlaku nyalaan semula.
“Pihak bomba mendapati kawasan hutan seluas 58 ekar (23.5 hektar) terbakar dan sehingga semalam sebanyak 56 ekar (22.7 hektar) kawasan hutan yang bertompok-tompok berjaya dipadamkan,” katanya.
Katanya, juruterbang memaklumkan antara cabaran melakukan pemadaman membabitkan kawasan yang mempunyai talian arus elektrik bervoltan tinggi kerana memerlukan tahap waspada yang tinggi.
“Kawasan pengambilan air bagi water bombing juga agak cetek menyebabkan terdapat lumpur yang memasuki water bucket.
“Selain itu, kawasan mendarat pesawat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Semanggol ditukarkan ke kawasan parkir Bukit Merah Laketown Waterparkuntuk kemudahan operasi pesawat,” katanya.
Difahamkan, kebakaran terbabit yang bermula pada petang Khamis lalu berpunca dari aktiviti pembakaran sebelum merebak ke hutan berdekatan.
-Harian Metro


