COLORADO: Penduduk di Fort Collins dan beberapa kawasan lain di Colorado dilaporkan melihat arnab liar dengan ketumbuhan berbentuk seperti ‘tanduk’ dan ‘sesungut’ yang timbul dari kepala serta muka.
Foto-foto yang tular di media sosial mengejutkan penduduk tempatan, memperlihatkan haiwan terbabit dengan bentuk hitam berduri menyerupai pencungkil gigi atau duri landak, sekali gus mencetuskan kebimbangan dan spekulasi mengenai kemungkinan wujud penyakit.
Pakar hidupan liar menjelaskan bahawa keadaan yang membimbangkan itu disebabkan oleh virus Shope papillomavirus (SPV), iaitu penyakit yang menghasilkan ketumbuhan seperti ketuat pada arnab, lazimnya di sekitar kepala, telinga dan kelopak mata.
Memetik laporan Hindustan Times, walaupun ketumbuhan itu kelihatan menakutkan, pihak berkuasa menegaskan ia tidak mengancam manusia, haiwan peliharaan atau hidupan liar lain.
Virus ini hanya merebak antara arnab, biasanya melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan kutu.
Menurut Universiti Missouri, keadaan ini ialah virus DNA yang ‘paling kerap dilihat pada arnab ekor kapas di wilayah Midwest dengan wabak yang turut berlaku pada arnab peliharaan’.
Penduduk melaporkan beberapa kali terlihat arnab yang sama, termasuk seekor arnab yang kembali ke halaman rumah seorang penduduk selama dua tahun berturut-turut dengan ketumbuhan yang semakin teruk.
Gambaran mengenai rupa ketumbuhan itu berbeza-beza, ada yang menyifatkannya sebagai ‘duri hitam’ dan ada pula yang menyebutnya sebagai ‘ketumbuhan berkudis’ yang menutupi sebahagian muka.
“Saya sangka dia akan mati ketika musim sejuk, tetapi tidak. Dia kembali pada tahun kedua, dan ketumbuhannya membesar,” kata seorang penduduk tempatan, Susan Mansfield, kepada stesen NBC.
Virus itu menyebabkan ketumbuhan seperti ketuat yang bersifat jinak, namun dalam sesetengah kes, ia boleh berubah menjadi kanser.
Setakat ini, tiada penawar yang diketahui untuk virus ini dan pembuangan ketumbuhan melalui pembedahan kadang-kadang dilakukan terhadap arnab peliharaan.
Jabatan Taman dan Hidupan Liar Colorado menasihati penduduk supaya menjaga jarak (tidak mendekati haiwan itu) dan menegaskan arnab-arnab itu tidak berbahaya.
-Berita Harian
