KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan beberapa individu termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ketua ARMADA BERSATU, Muhammad Hilman Idham akan didakwa berhubung kenyataan mereka yang didapati menggugat ketenteraman awam.
AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti kertas siasatan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan dibuat Muhamad Akmal di laman Facebook ‘Akmal Saleh’ dan Muhammad Hilman di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.
“Berdasarkan keterangan dan bukti diperoleh, jabatan ini memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] terhadap Muhamad Akmal Saleh dan Muhammad Hilman Idham,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengenai pertuduhan terhadap individu lain, AGC berkata ia membabitkan S Chandrasegaran melalui akaun TikTok “cikguchandra3” dan kenyataan yang dibuat oleh Siti Hajar Aflah Sharuddin di akaun TikTok “SHA_Abrienda.”
“S Chandrasegaran akan dituduh di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588], dengan semua pertuduhan akan dikemukakan di Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa setempat dalam masa terdekat.
“Kenyataan dibuat individu ini didapati menggugat ketenteraman awam atau menggunakan penggunaan yang tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.
Terdahulu, Muhamad Akmal menegsahkan akan dituduh di Mahkamah berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam Jumaat ini.
Menerusi akaun Facebooknya, Muhamad Akmal memaklumkan beliau sudah dihubungi pihak polis dengan pendakwaan akan dibuat di Majistret Bukit Mertajam di Pulau Pinang.
BHonline-


