KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui ujian sebenar dalam kepemimpinan bukan terletak pada kelantangan menegur pihak lawan, sebaliknya pada keberanian menegur rakan sendiri dalam parti dan kerajaan.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ramai yang petah mengkritik musuh politik di luar, namun berdiam diri apabila berdepan dengan keputusan meragukan daripada kawan sendiri dalam pentadbiran.
“Ujian sebenar seorang pemimpin bukanlah lantangnya dia berhadapan dengan lawan. Ujian sebenar ialah istiqamahnya menegur kawan dalam parti dan kerajaan.
“Kerana menegur kawan itu lebih susah daripada menegur lawan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Rafizi mengetuai sembilan Ahli Parlimen PKR mengkritik isu yang melanda badan kehakiman, termasuk mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat proses pelantikan hakim.
Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi pelantikan Ketua Hakim Negara, sebelum nama Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh diumumkan sebagai pengganti Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Tindakan Rafizi itu kemudiannya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli PKR sehingga beberapa ketua cabang tampil menggesa supaya tindakan diambil terhadapnya.
Dalam pada itu, Rafizi mengakui beliau kini menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan kepemimpinan PKR.
Beliau mendakwa, ia susulan beberapa pandangan yang dibangkitkannya berkaitan isu dasar dan integriti institusi.
“Dalam PKR, bila saya beri pandangan, ramai yang kepanasan. Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh siap keluarkan memo.
“Kononnya apabila kami bangkitkan isu badan kehakiman itu dianggap sama seperti hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri,” katanya.
Pada masa sama, Rafizi turut menyentuh reaksi pimpinan PAS yang bertindak menyerang secara berkumpulan apabila beliau menyoal pendirian parti itu.
Katanya, sama ada dalam PKR mahupun PAS, kedua-duanya sering mempersoal tindakan beliau yang tidak membantah secara terbuka ketika masih berada dalam kerajaan.
“Dalam PAS pula, bila saya usik pendirian mereka yang berubah-ubah pun pakat serang ramai-ramai.
“Saya pasti pimpinan PAS ada jawapan yang sama dengan saya sebab mereka pernah berdepan dengan keadaan yang sama semasa dalam kerajaan dulu,” katanya.
Mengimbas kembali keputusan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaikkan cabutan loteri daripada lapan kepada 22 kali setahun, beliau percaya PAS sudah menyuarakan bantahan secara dalaman sepertinya ketika dalam Kabinet.
Bagaimanapun, Rafizi berkata, beliau memilih untuk meletak jawatan apabila berasakan pandangannya tidak lagi dipertimbangkan.
“Sudah tentu saya nyatakan kepada Perdana Menteri atau dalam mesyuarat Kabinet. Tapi akhirnya, menteri tertakluk kepada keputusan akhir Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
“Bezanya saya dengan PAS begini… walaupun diminta kekal dalam Kabinet, bila saya rasa tidak serasi atau pandangan saya tidak diambil kira, saya letak jawatan.
“PAS lain sedikit, walaupun di luar menjerit anti judi dan mahu mengangkat syiar Islam, selepas di dalam bersuara… masih lagi kekal sampai ke sudah. Loteri naik tiga kali ganda pun tak apalah asalkan ‘ana’ kekal jadi Menteri,” sindirnya.
BHonline-


