SHAH ALAM: Polis memanggil seorang wanita dan saksi lain berada di lokasi penganjuran program motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di sini yang didakwa mengandungi unsur menyimpang ajaran agama dan mempromosi budaya songsang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata wanita berkenaan adalah peserta program terbabit dan isteri kepada pengadu berusia 39 tahun yang terlebih dahulu membuat laporan polis pada Februari lalu berhubung acara berkenaan.
“Polis ada terima laporan berkaitan kejadian ini pada akhir Februari lalu. Kejadian ini dilaporkan berlaku pada September tahun lalu. Pada hari ini kita telah panggil isteri pengadu berserta saksi-saksi lain di tempat kejadian untuk diambil keterangan.
“Kami mahu mengesahkan beberapa perkara sebelum keputusan dibuat sama ada tindakan seterusnya adalah daripada kami atau pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya ringkas menerusi WhatsApp, hari ini.
Beliau juga memaklumkan, polis kini dalam tindakan untuk mengesahkan kejadian berkenaan seperti yang ditularkan dan meminta jika ada saksi yang mempunyai video atau gambar berkaitan untuk tampil memberi keterangan.
Mereka yang ingin membantu siasatan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Anuar Amilah di talian 019-2255597.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial mendakwa penganjuran program berkenaan yang dikatakan antara 27 hingga 30 September tahun lalu, turut diselitkan dengan tarian bogel serta upacara dilihat sebagai syirik.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilapor berkata, pihaknya akan menyiasat penganjuran program motivasi itu yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan syirik.
-Berita Harian


