KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum menerima sebarang laporan pelanggaran berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) atau aduan terhadap mana-mana akta lain susulan perhimpunan aman anjuran pembangkang yang berlangsung di ibu negara semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perhimpunan berkenaan berjalan lancar dan dikawal rapi oleh pihak polis dengan penuh tanggungjawab serta profesionalisme selaras komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kebebasan berhimpun.
“Saya belum mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak polis setakat pagi ini kalau-kalau ada laporan atau aduan tentang pelanggaran akta yang sedia ada, termasuk isu 3R.
“Tapi yang jelas, ini bukti paling nyata, sudah terang lagi bersuluh bahawa Kerajaan MADANI benar-benar menterjemahkan kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perlembagaan. Polis pula memberikan kawalan secara penuh tanggungjawab dan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dataran Kulim, di sini, hari ini.
Saifuddin turut menegur pihak penganjur kerana tidak memberi peringatan jelas kepada peserta supaya tidak membawa kanak-kanak bawah umur ke perhimpunan kerana ia dilarang di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.
“Akta ini ada tiga tanggungjawab utama. Polis bertindak memudah cara, penganjur tidak boleh bangkitkan isu perkauman, agama atau institusi raja dan peserta pula tidak boleh bawa senjata berbahaya dan membawa kanak-kanak bawah umur.
“Semalam, peserta pun tak tahu atau tidak diberitahu. Penganjur hanya ajak datang beramai-ramai tanpa menyatakan larangan bawa kanak-kanak. Itu salah dari segi undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin mencabar pembangkang supaya tidak sekadar berhimpun saban minggu, sebaliknya tampil dengan dasar yang lebih baik bagi menyaingi dasar yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata, dalam soal kos sara hidup, kerajaan MADANI sudah menampilkan langkah jelas termasuk menambah bantuan tunai dan menurunkan harga minyak sebanyak enam sen, dan kini tiba masa untuk pembangkang membentangkan alternatif mereka.
“Kalau tak setuju dasar kerajaan, bentangkan dasar kebajikan kamu. Kalau rasa enam sen itu tak cukup, nyatakan berapa kamu nak turunkan, apa mekanisme kamu, biar rakyat buat perbandingan.
“Kita tunjukkan dasar dan program. Tapi mereka lawan dengan maki hamun dan politik sentimen. Jadi rakyat tak dapat peluang nilai dengan adil, kita tolak politik kotor macam ini,” katanya.
Menurut beliau, perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen minggu hadapan adalah medan terbaik untuk pembangkang membuktikan kemampuan mereka sebagai blok alternatif.
“Rakyat nak lihat idea dan tawaran dasar, bukan sekadar pekikan jalanan. Peluang sudah terbentang luas. Tampilkan dasar kamu dalam Parlimen, biar rakyat nilai,” katanya.
BHonline-


