Ranau: Seramai 155 pendaki yang berada di kawasan Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu, berjaya melepasi kawasan aliran air deras susulan hujan lebat yang melanda di kawasan berkenaan, hari ini.
Menurut kenyataan Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah hari ini, hujan lebat di kawasan kemuncak menyebabkan limpahan air deras dari dataran tinggi melintasi laluan denai di Kilometer 7.
“Pemantauan serta penilaian segera telah dilakukan oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) Taman-Taman Sabah (TTS), pasukan MOSAR dan Malim Gunung.
“Laluan dikenal pasti selamat dan semua pendaki dibantu menggunakan tali keselamatan yang tersedia di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, semua pendaki dilaporkan selamat dan berjaya menyeberangi kawasan berisiko itu pada jam 7.48 pagi tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Sebelum ini, media melaporkan situasi cemas di laluan pendakian Gunung Kinabalu apabila aliran air deras melimpah secara tiba-tiba susulan perubahan cuaca drastik selepas pendakian dibuka pada jam 3.26 pagi.
Katanya, kejadian seperti ini adalah fenomena semula jadi yang lazim berlaku ketika hujan lebat di kawasan tinggi.
“Pihak kami sentiasa bersiap sedia dengan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ketat,” menurut kenyataan itu.
Katanya, pemantauan cuaca dilakukan antara jam 2 hingga 3 pagi dan sekiranya keadaan tidak mengizinkan, taklimat penutupan pendakian akan segera dilakukan oleh renjer atau anggota SAR Taman.
“TTS turut menasihatkan pendaki supaya tidak panik jika berdepan situasi seperti ini dan sentiasa mematuhi arahan keselamatan daripada SAR Taman dan Malim Gunung,” katanya.
-Harian Metro