KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa di enam negara akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan harta dan aset yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang tidak diisytiharkan.
Ini berikutan terdapat sejumlah harta termasuk aset komersial bernilai berbilion ringgit di beberapa negara Eropah tidak diisytihar dalam siasatan SPRM yang dijalankan sejak 2023.
Antara agensi yang akan memberi kerjasama dalam siasatan itu ialah Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura dan Jabatan Peguam Negara Switzerland.
Selain itu, dua pihak berkuasa United Kingdom (UK) iaitu National Crime Agency (NCA) serta International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) sudah membuat tindakan bagi tujuan restraining order.
BH difahamkan, beberapa pihak berkuasa di negara yang dikenal pasti menyimpan sejumlah harta itu juga akan turut bersama SPRM dalam siasatan berkenaan dalam tempoh terdekat.
Guna pakai MACMA 2002
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi BH mengesahkan kerjasama itu dan berkata, SPRM akan mengguna pakai Akta Bantuan Bersama Dalam Hal Ehwal Jenayah 2002 (MACMA 2002) untuk tindakan penyiasatan.
Katanya, penguat kuasa luar negara bekerjasama dengan SPRM bagi melaksanakan restraining order sejumlah harta mewah dan bernilai tinggi yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan itu.
“Tindakan pembekuan (restraining order) ini sebahagian proses siasatan dan peringkat permulaan sebelum proses seterusnya membabitkan tindakan lucut hak dengan pendakwaan atau tanpa pendakwaan.
“Ini strategi penting dalam usaha memerangi jenayah rasuah atau jenayah kewangan yang membabitkan kerugian yang tinggi kepada pihak kerajaan dan bertujuan untuk mendapat semula hasil itu untuk negara,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Mohamad Zamri berkata, ketika ini masih terdapat beberapa perkara sebelum tindakan itu dibuat termasuk prosedur undang-undang.
“Antaranya ialah permohonan mahkamah dan apabila selesai, ‘restraining order’ akan dihantar ke negara-negara itu melalui MACMA 2002,” katanya.
MACMA 2002 membolehkan Malaysia mendapatkan dan memberikan bantuan kepada negara lain dalam siasatan serta pendakwaan jenayah rentas sempadan atau rasuah, bagi tujuan pertukaran bahan bukti, pengaturan kehadiran saksi dan perkara berkaitan jenayah yang disiasat.
Prinsip utamanya ialah kesalahan atau jenayah itu mestilah dianggap sebagai jenayah di kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan negara yang membuat permintaan.
Akta ini pernah digunakan dalam siasatan skandal 1MDB, iaitu Malaysia meminta dan menerima bantuan daripada Jabatan Kehakiman AS untuk mendapatkan semula aset yang dikaitkan dengan kes itu.
Aset Daim di luar negara RM4.5 bilion
BH kelmarin mendedahkan aset dan harta dikaitkan dengan Daim, keluarganya serta proksi, yang berada di lima lagi negara selain United Kingdom (UK), dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM4.5 bilion.
Difahamkan aset bernilai tinggi dan mempunyai kepentingan komersial itu dijangka dibekukan selepas SPRM mendapati ia gagal diisytiharkan dalam siasatan terhadap pemimpin politik itu.
Sabtu lalu, BH secara eksklusif juga mendedahkan, lima lagi negara menjadi sasaran SPRM untuk menjejaki sejumlah harta bernilai tinggi tidak diisytiharkan milik Daim dan keluarga, termasuk proksi bekas menteri kewangan itu.
Laporan eksklusif menyebut, lima negara itu ialah AS, Singapura, Jersey, Jepun dan Itali.
Baru-baru ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan, pihak berkuasa UK bersetuju dengan SPRM untuk mengenakan perintah larangan terhadap sejumlah aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta milik keluarga dan proksi dikaitkan dengan Daim.
Sebelum ini, media melaporkan, tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank yang didakwa milik isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, berjaya dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).
Menara Ilham milik Daim di Jalan Binjai, Kuala Lumpur turut difailkan pelucutan hak di mahkamah oleh SPRM.
Pada 22 Mei lalu, Azam mendedahkan lapan kertas siasatan dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi.
Azam berkata, maklumat terkini menunjukkan aset itu tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023.
BHonline-


