Kuala Lumpur: Pengembara solo warga British dikhuatiri hilang apabila gagal dikesan selepas berkunjung ke sebuah kelab di Bangsar, di sini, pada 27 Mei lalu.
Sebuah portal melaporkan jurutera perisian Jordan Johnson Doyle, 25, disedari hilang oleh keluarganya apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak aktif.
Menurut laporan, ibu lelaki itu mendakwa anaknya ada menghantar gambar bersama seorang rakan di sebuah kelab di Bangsar kira-kira jam 8 malam, pada Selasa lalu.
Ibunya, Leanne Burnett berkata, mereka berhubung hampir setiap hari dan sentiasa mengakses ‘Find My Iphone’ anaknya untuk mengetahui lokasi.
“Bagaimanapun, pada pagi Rabu saya melihat aplikasi itu menunjukkan keberadaan anak di sebuah bangunan kediaman berhampiran kelab berkenaan.
“Saya dapati lokasi anak berada kali terakhir dikemas kini pada 11 malam (Rabu lalu), bermakna telefon bimbitnya dimatikan atau berada di luar liputan.
“Saya terus menjejak lokasi itu sepanjang hari dan cuba menghubunginya melalui Facebook dan Instagram, tapi lokasi kali terakhir anak tetap sama,” katanya dilaporkan portal itu.
Menurut wanita itu, telefon bimbit Jordan kali terakhir dapat dikesan pada Jumaat lalu iaitu tiga hari selepas kali terakhir dilihat.
Katanya, dia menghubungi rakan baik anaknya yang ada bersama pada Selasa lalu, dan lelaki itu memaklumkan kali terakhir berhubung dengan Jordan pada hari sama.
Difahamkan, Jordan melakukan pengembaraan di sekitar Mediterranean dan Asia Tenggara selama lebih setahun lalu, sambil bekerja secara jarak jauh dengan sebuah syarikat beroperasi di Amerika Syarikat.
Lelaki itu dikatakan tiba di Malaysia pada 17 Mei lalu selepas berkunjung ke Vietnam dan menginap di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini.
-Harian Metro


