TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam mengumumkan penamatan ‘perang 12 hari’ yang dicetuskan oleh Israel.
Dalam perutusan kepada seluruh negara yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA, Pezeshkian berkata: “Hari ini (semalam), selepas penentangan hebat ditunjukkan rakyat kita, dan keazaman tinggi membina sejarah, kita menyaksikan gencatan senjata dan penamatan perang 12 hari yang dicetuskan oleh provokasi Israel.”
Beliau juga menegaskan bahawa kemenangan negaranya dalam menghadapi ancaman serantau adalah hasil daripada keteguhan rakyat, sambil menyatakan komitmen berterusan terhadap keamanan walaupun berdepan tindakan agresif Zionis dan pelanggaran janji oleh kuasa asing.
“Segala kejayaan kami datang daripada tekad rakyat Iran. Mereka adalah benteng utama negara ini dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan,” kata Pezeshkian dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas rundingan telefon dengan beberapa pemimpin serantau.
Dalam perbualan bersama Sultan Oman, Haitham bin Tariq, kedua-dua pemimpin membincangkan keperluan mendesak untuk mencegah ketegangan yang boleh mencetuskan konflik berskala besar.
Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kelmarin mengumumkan bahawa gencatan senjata sepenuhnya dan menyeluruh antara Israel dan Iran akan berkuat kuasa bagi menamatkan konflik yang telah mencetuskan kebimbangan global.
“Israel dan Iran sudah mencapai persetujuan penuh untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya (dalam kira-kira enam jam dari sekarang, apabila misi akhir mereka selesai), selama 12 jam. Selepas itu, perang ini akan dianggap tamat,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, Trump menyatakan keyakinannya bahawa perjanjian itu adalah satu langkah penting ke arah penamatan konflik yang meningkatkan ketegangan ketara di Asia Barat sejak beberapa minggu lalu.
BHonline-


