KUALA LUMPUR – Seorang gadis menempuh detik hitam apabila dicabul dan dirogol kekasih ibunya sendiri dalam kejadian di sebuah kediaman di ibu kota.
Lebih menyayat hati, perbuatan terkutuk itu berlaku di hadapan ibu mangsa yang langsung tidak menghalangnya.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kejadian berlaku pertengahan tahun lalu kira-kira jam 4 petang ketika mangsa berusia 14 tahun sedang tidur di bilik tidur ibunya.
“Mangsa terjaga selepas berasa disentuh dan mendapati ibunya, 36, serta teman lelaki wanita itu berusia 61 tahun berada di sebelahnya.
“Suspek kemudiannya bertindak merogol mangsa di hadapan ibunya,” katanya pada Ahad.
Katanya, sekitar 25 Jun lalu, mangsa ternampak mesej antara ibunya dan suspek yang merancang untuk melakukan hubungan seks serta menyatakan hasrat untuk bersama mangsa di sebuah hotel.
“Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah rakannya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan dijalankan membawa kepada penahanan kedua-dua suspek semalam.
“Siasatan mendapati ibu mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala teman lelakinya bekerja sendiri.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,” katanya.
-Sinar Harian


