MOSCOW: Unit pertahanan udara Russia memusnahkan dron Ukraine yang menyasarkan Moscow untuk malam kedua berturut-turut, sekali gus memaksa penutupan lapangan terbang di ibu negara, menurut pegawai Russia awal pagi hari ini
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin, berkata sekurang-kurangnya 19 dron Ukraine ‘dari pelbagai arah’ dimusnahkan ketika menghampiri Moscow.
Tiga saluran media sosial dalam aplikasi Telegram yang mempunyai kaitan dengan perkhidmatan keselamatan Russia – Baza, Mash dan Shot – melaporkan satu dron mengenai sebuah pangsapuri berhampiran jalan utama di selatan ibu negara, menyebabkan tingkap pecah.
Dalam satu kenyataan di saluran Telegram miliknya, Sobyanin berkata, tiada kemusnahan atau kecederaan dilaporkan di lokasi di mana serpihan dron jatuh.
“Anggota pasukan perkhidmatan kecemasan turut ditempatkan di lokasi kejadian,” katanya.
Sobyanin turut memaklumkan serpihan dron turut jatuh di satu daripada lebuh raya utama menuju ke ibu kota, namun tidak menyatakan sebarang insiden kediaman terkena serangan itu.
Pihak berkuasa penerbangan Russia, Rosaviatsia, menerusi Telegram mengesahkan semua empat lapangan terbang utama yang beroperasi di Moscow dihentikan untuk sementara waktu.
Beberapa lapangan terbang di bandar-bandar wilayah turut ditutup.
Hari ini, unit pertahanan udara Russia memusnahkan empat lagi dron Ukraine yang menghampiri Moscow, tanpa sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan.
Perang antara kedua-dua negara berlangsung lebih tiga tahun lalu, sejak Russia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine, yang digambarkan oleh Moscow sebagai ‘operasi ketenteraan khas’.
Sejak itu, Kyiv melancarkan beberapa serangan dron ke atas Moscow, termasuk serangan terbesar pada Mac lalu yang meragut tiga nyawa.
Tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh pihak Kyiv berhubung serangan terbaru ini.
Ukraine berkata serangan dron mereka bertujuan memusnahkan infrastruktur penting bagi usaha perang Russia, sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan Moscow ke atas wilayah Ukraine, termasuk kawasan kediaman dan infrastruktur tenaga.
-REUTERS


