KLANG: Kerajaan negeri mengarahkan semua peniaga rokok elektronik (e-rokok) atau vape menurunkan iklan jualan dan promosi berkaitan e-rokok sebelum tindakan tegas dikenakan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, berkata arahan itu sudah dibincang dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.
“Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen bagi penjualan dan perniagaan e-rokok atau vape, mereka berniaga dan menjual tanpa izin, tanpa lesen dan mereka paparkan iklan sendiri.
“Dalam kawasan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), ada 45 premis mempunyai iklan dan menjual vape dan di seluruh Selangor pasti lebih banyak bilangannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan rasmi ke MBDK yang menjadi pihak berkuasa (PBT) pertama dilawati tahun ini di sini, hari ini.
Suee Lim berkata, semua PBT sudah boleh mengeluarkan notis kepada peniaga e-rokok dalam kawasan pentadbiran masing-masing dengan mengarahkan iklan diturunkan.
“Kalau mereka tidak turunkan iklan berkenaan mengikut masa dan tarikh ditetapkan pada notis, PBT akan ambil tindakan selanjutnya.
“Kalau PBT yang turunkan iklan, peniaga akan dikenakan saman,” katanya.
Bagaimanapun Suee Lim berkata, keputusan untuk mengharamkan
terus penjualan e-rokok belum dimutamadkan lagi dan masih dalam kajian.
Semua PBT di Selangor diarah menyita iklan memaparkan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri, dengan negeri ini dalam proses pertimbangan melarang penjualannya.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, dilaporkan berkata, ia berikutan ancaman penggunaan rokok elektronik yang semakin membimbangkan khususnya generasi muda.
BHonline-


