JOHOR BAHRU: Datuk Seri Rafizi Ramli yang tewas dalam saingan jawatan nombor dua PKR malam tadi tidak kelihatan di hari terakhir Kongres Nasional PKR 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini, pagi ini.
Setakat jam 10.17 pagi ini, kelibat Ahli Parlimen Pandan yang juga Menteri Ekonomi itu belum kelihatan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi di dewan kongres ketika beberapa perwakilan ternanti-nanti kemunculan beliau.
Susuk Rafizi antara mencuri tumpuan sepanjang kempen menjelang pemilihan PKR apabila lantang menggunakan pentas jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) untuk mengkritik dan menyerang sistem parti serta beberapa pimpinan, termasuk calon yang bertanding.
Rafizi juga menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu.
Kongres Nasional PKR 2025 menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan utama.
Paling mencuri tumpuan adalah saingan Timbalan Presiden apabila Nurul Izzah Anwar menewaskan Rafizi selaku penyandang.
Keputusan rasmi jawatan Majlis Pimpinam Pusat (MPP) 2025-2028 termasuk Timbalan Presiden diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kira-kira jam 10.30 malam tadi, selepas selesai ucapan perasmian Kongres Nasional PKR 2025 oleh Anwar.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Rafizi yang meraih 3,866 undi.
Rafizi ketika ditemui media selepa skeputusan diumumkan malam tadi enggan mengulas lanjut, sekadar berkata ‘It’s ok, you should ask the (new)’ Timbalan Presiden”.
Beliau juga dilihat kurang senang apabila ditanya media sama ada menerima keputusan tewas di tangan Puteri Reformasi, Nurul Izzah.
Pagi ini, Kongres Nasional PKR 2024/2025 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, diteruskan dengan sesi perbahasan ucapan dasar Presiden.
Terdahulu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba ke lokasi kongres seawal jam 8.40 pagi bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.
Nurul Izzah tiba kira-kira jam 8.20 pagi bersama kepimpinan tertinggi lain.
BHonline-


