TELUK INTAN – Jenazah sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Chikus – Sungai Lampam, pada pagi Selasa, akan diberi penghormatan terakhir sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penghormatan terakhir akan dilakukan di Markas Unit 5 FRU Sungai Senam.
Menurutnya, majlis itu akan diadakan secepat mungkin selepas selesai proses bedah siasat yang dijangka malam ini.
“Semua mangsa ini, selepas dibedah siasat, (yang beragama Islam) akan disembahyangkan di IPD Hilir Perak di Teluk Intan.
“Seterusnya jenazah akan dibawa ke Markas Unit 5, Pasukan Simpanan Persekutuan di Sungai Senam untuk penghormatan terakhir oleh unitnya.
“Selepas itu jenazah akan dibawa ke kampung halaman masing-masing,” katanya pada sidang media di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan, di sini, hari ini.
Menurutnya, tujuh daripada mangsa itu beragama Islam manakala dua lagi bukan beragama Islam.
Noor Hisam mengesahkan sembilan anggota yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, 44: Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit a/l Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Kesemua mereka adalah orang Perak, kecuali Konst Akmal Wafi yang beralamat di Lunas, Kedah.
SinarHarian-