KUALA LUMPUR: Pempengaruh yang ditahan polis selepas didakwa menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun, disambung reman hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata suspek berusia 22 tahun itu direman sehari lagi sehingga esok.
Menurutnya, tempoh reman itu dikeluarkan mahkamah selepas permohonan dibuat polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Suspek sebelum ini direman empat hari dari 23 Mei sehingga 26 Mei. Jadi polis mohon sambung reman dan dibenarkan sehari.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media terdahulu melaporkan, pempengaruh ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghantar beberapa mesej berbaur lucah kepada remaja bawah umur berusia 14 tahun.
Noor Ariffin dilaporkan berkata, lelaki ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek menghantar beberapa imej tidak senonoh serta mesej berunsur seksual kepada mangsa sejak awal Mei lalu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
BHonline-


