TELUK INTAN: Pemandu lori yang terbabit kemalangan tragis sehingga meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), di sini, hari ini, didapati memiliki pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kesalahan berkaitan dadah.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata pemandu berusia 45 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah yang kebanyakannya berkaitan dadah.
“Dia mempunyai enam rekod jenayah lampau, terutama kesalahan dadah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Teluk Intan, hari ini.
Turut hadir di pekarangan hospital itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Noor Hisam berkata, hasil ujian air kencing awal terhadap pemandu lori membawa muatan batu itu menunjukkan keputusan negatif tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.
“Pemandu itu yang kini dalam tahanan polis juga dipercayai mempunyai beberapa saman trafik tertunggak,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Kemalangan maut itu berlaku kira-kira jam 8.30 pagi tadi ketika konvoi kenderaan Unit 5 FRU dalam perjalanan pulang dari penugasan kawalan awam di Teluk Intan.
Konvoi tujuh kenderaan itu dalam perjalanan ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh, sebelum sebuah lori merempuh trak membawa anggota FRU.
Lapan anggota disahkan maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, dan tiga lagi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Noor Hisam berkata, insiden itu adalah kehilangan yang amat menyedihkan bukan saja bagi FRU tetapi juga seluruh pasukan polis.
“Kami memastikan semua proses bedah siasat, pemberitahuan kepada keluarga dan urusan pengebumian diuruskan dengan penuh hormat.
“Mereka yang terkorban merupakan anak jati Perak, kecuali seorang dari Kedah. Tujuh adalah Muslim, manakala dua bukan Muslim.
“Upacara pengebumian akan dijalankan mengikut agama masing-masing, dengan penghormatan penuh daripada pihak polis.
“Berhubung mangsa cedera pula, ada yang masih dalam keadaan kritikal di zon merah, manakala yang lain di zon kuning. Tiga sedang dirawat di Hospital Teluk Intan,” katanya.
Ditanya mengenai penugasan di Teluk Intan dan tempoh tugasan, Noor Hisam berkata, segala-galanya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU.
“Tugasan seperti ini biasanya mengambil masa tiga hari. Satu hari untuk perjalanan ke lokasi, satu hari untuk tugas, dan satu hari untuk pulang. Itu adalah protokol standard FRU.
“Tujuh kenderaan terbabit dalam konvoi membabitkan sebuah lori, empat trak berat dan dua Land Rover. Kenderaan terbabit kemalangan ialah yang kelima dalam barisan, iaitu salah satu trak kargo membawa peralatan… sebab itu impaknya teruk serta menyebabkan kematian,” katanya.
BHonline-