GERIK: Situasi menyayat hati seekor gajah betina seakan ‘meratapi’ kematian anaknya yang dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini, awal pagi tadi berlaku apabila anak gajah berkenaan melintas tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian jam 2.50 pagi tadi, yang mana gajah jantan berkenaan dikatakan keluar dari hutan di kiri bahu jalan.
Siasatan mendapati lori membawa ayam dipandu lelaki berusia 28 tahun dari arah Gerik menghala Jeli mulanya melihat seekor gajah besar di bahu kanan jalan sedang memakan rumput, sebelum gajah lain yang dilanggarnya itu keluar dari bahu kiri jalan untuk melintas.
“Disebabkan jarak yang sangat dekat, pemandu tidak dapat mengelak dan melanggar anak gajah itu sehingga mati di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, akibat daripada pelanggaran itu seekor gajah yang dipercayai ibu gajah yang mati itu, mengamuk dan merosakkan bahagian hadapan lori tetapi pemandu tidak cedera.
Zulkifli berkata, polis kemudian menghubungi PERHILITAN dan tindakan mengawal gajah itu dijalankan dengan menembak pelali sehingga keadaan stabil.
BHonline-