SHAH ALAM – Kerajaan dan pihak berkuasa digesa segera mempertingkat langkah keselamatan di kawasan berisiko tinggi susulan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor, pada Selasa.
Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan dan panduan kepada agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dalam menyiasat insiden tersebut.
“Dengan lebih daripada 42,000 ahli, termasuk Ahli Korporat yang terdiri daripada pakar teknikal dan jurutera profesional, beberapa daripadanya pakar dalam keselamatan serta kesihatan industri minyak dan gas.
“Salah satu kebimbangan utama adalah kedekatan fasiliti mudah terbakar dengan kawasan kediaman.
“Selain itu, keberkesanan langkah keselamatan dan perlindungan sedia ada perlu dikaji semula dengan teliti dan jika perlu, dinaik taraf,” katanya.
Sebelum ini, kebakaran yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi itu dipercayai berpunca daripada fenomena letupan wap cecair mengembang (BLEVE), menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter (m) dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, mengesahkan seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terjejas akibat kebakaran itu.
Dalam sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTP), beliau memaklumkan bahawa pemeriksaan rapi dan penilaian tahap keselamatan bagi setiap unit yang terlibat dalam kebakaran akan bermula hari ini (Rabu) sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Dalam pada itu, IEM turut menyampaikan keprihatinan dan simpati yang mendalam terhadap individu yang cedera serta kerosakan harta benda disebabkan oleh insiden berkenaan.
“IEM mengharapkan pemulihan yang cepat kepada semua mangsa yang cedera dan merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba dan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat serta memadamkan kebakaran tersebut,” ujarnya.
SinarHarian-