SUBANG JAYA: Tujuh mangsa, termasuk dua warga Malaysia diselamatkan susulan kebakaran akibat kebocoran saluran paip gas PETRONAS di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Razali Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.10 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 78 anggota bomba dengan 22 aset termasuk 10 jentera FRT, empat unit EMRS, lima unit Water Tanker, satu unit HAZMAT, satu unit BA Tanker dan satu unit ALP dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman serta menyelamatkan mangsa.
“Kebakaran membabitkan kebocoran saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter dengan api marak tinggi.
Pemindahan penduduk
“Berikutan lokasinya berhampiran kawasan perumahan, operasi evakuasi dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Setakat ini, anggota bomba telah berjaya menyelamatkan tujuh orang mangsa, termasuk dua warga Malaysia.
“Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa yang terbabit serta tahap api merebak di kawasan perumahan masih dalam siasatan,” katanya.
Walaupun PETRONAS sudah menutup injap saluran paip yang terbakar, lokasi sebenar penutupan masih belum dikenal pasti.
“Kebakaran ini turut menjejaskan beberapa rumah berhampiran, meningkatkan risiko kepada penduduk,” katanya.
Wan Razali berkata, operasi pemadaman masih diteruskan dan pihaknya akan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
-Berita Harian


