KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan bendera negeri Pahang dikibarkan separuh tiang, esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Nazri Abi Bakar, berkata titah baginda bagi menzahirkan penghormatan atas kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
“Menjunjung titah perintah Al-Sultan Abdullah adalah dimaklumkan bahawa bendera Negeri Pahang Darul Makmur hendaklah dikibarkan separuh tiang pada 16 April 2025 (Rabu),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam.
Jenazah negarawan itu dikebumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara, selepas solat Zohor hari ini.
-Berita Harian
