KUALA BERANG: Hajat enam sekeluarga untuk pulang menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 416.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.50 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu MPV jenis Nissan Serena dengan lori jenis Nissan.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu itu dipercayai terbabas, sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang bergerak di sebelah kiri.
“Akibat rempuhan itu, mangsa, Noor Shirlyna Irma Ngah, 43, dari Kampung Salor, Kota Bharu, Kelantan maut di tempat kejadian.
“Suami mangsa berusia 43 tahun yang memandu MPV itu cedera parah. Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk tindakan lanjut.
“Penumpang belakang masing-masing dua orang yang parah dan cedera ringan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Sharudin berkata, difahamkan mangsa sekeluarga dalam perjalanan pulang untuk menyambut Aidilfitri di Kelantan, sebelum terbabit dalam kemalangan.
“Pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemalangan berlaku di laluan lurus, manakala keadaan cuaca juga adalah baik,” katanya.
BHonline-


