Gua Musang: Di saat kebanyakan orang sedang menunggu azan berbuka bersama keluarga, tiga guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Pos Balar, masih gigih meneruskan perjalanan meredah hutan belantara untuk sampai ke sekolah terbabit.
Mohd Halim Mohamad Zaid, 46, dan dua lagi dikenali sebagai Mazlan dan Nik Zulkifli mengambil masa lebih tiga jam dengan jarak perjalanan kira-kira 50 kilometer (KM) untuk sampai.
Menerusi perkongsian di saluran YouTubenya dengan nama ‘cikgu offroad’, Mohd Halim berkongsi pengalaman berbuka puasa di tengah hutan belantara demi tanggungjawab mendidik anak Orang Asli kaum Temiar.
“Tahun ini masuk tahun kelima. Saban tahun memang menempuh situasi yang sama terpaksa berbuka di dalam hutan.
“Perjalanan menuju ke Pos Balar kali ini tidak ada bezanya berbanding minggu sebelumnya, namun agak mencabar apabila ia dilalui dalam keadaan kami berpuasa.
“Di pertengahan jalan motosikal pancit dan kami bertiga bekerjasama menukar tayar terbabit yang menjadi penyebab kami lambat tiba di Pos Balar.
“Ketika mengharungi sungai pula kami terpaksa bergilir-gilir menolak motosikal untuk sampai ke seberang. Kerana dua daripada tiga motosikal tidak dapat mengharung air ketika dihidupkan,” katanya.
Menurutnya, mereka bertolak dari Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, jam 5 petang dan tiba kira-kira 8.30 malam ketika azan Isyak.
“Keadaan itu menyebabkan kami terpaksa berbuka di dalam hutan dengan bekal yang sudah dibawa,” katanya.
Sementara itu Mohd Halim berkata, walaupun sudah lima tahun melalui rutin itu, dia tidak pernah jemu.
“Setiap minggu, bulan dan tahun saya melalui perjalanan yang sama, yang membezakan hanyalah keadaan jalan iaitu berdebu, berlumpur dan ancaman haiwan liar. Jadi buat apa saya ingin mengeluh, selagi tidak bertukar saya akan berhadapan dengan situasi yang sama.
“Saya tidak pernah ‘give up’ (putus asa) dan ‘down’ (murung) dalam melaksanakan tugas ini. Kerja ini saya anggap amanah, tanggungjawab dan ibadah.
“Insya-Allah dengan setiap kesusahan yang kita hadapi hari ini Allah akan gantikan dengan yang baik. Ada hikmahnya kenapa saya berada di sini,” katanya.
HarianMetro-