Kuala Lumpur : Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) mendesak supaya operasi besar-besaran termasuk Road Safety Audit dilakukan segera secara berterusan ke atas kenderaan berat dan perdagangan, terutamanya yang berusia.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran PPKJR, Jamil Manan Supri berkata pihak berkuasa juga perlu meningkatkan usaha membanteras pemilik dan pengusaha kenderaan berat yang gagal dan membenarkan kenderaan berada di atas jalan raya sekiranya tidak diselenggara dengan baik.
Katanya, Puspakom Sdn Bhd (PUSPAKOM) perlu telus memastikan kenderaan diperiksa dengan teliti dengan pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta badan penguatkuasaan yang lain.
“PPKJR memandang serius kemalangan maut yang berlaku di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, tidak jauh dari susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, kira-kira jam 8.40 malam tadi, kerana ini bukan kali pertama insiden tayar terbang berlaku.
“Malah tindakan diambil ke atas pemilik dan pemandu treler terbabit yang meninggalkan kawasan kemalangan juga perlu dikenakan dan sekiranya pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian, hukuman mandatori perlu dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, di sini, hari ini.
Nahas di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, tidak jauh dari susur keluar Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, kira-kira jam 8.40 malam tadi mengorbankan tujuh nyawa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilapor berkata, nahas membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Jamil berkata, justeru PPKJR turut menyenaraikan beberapa cadangan iaitu pemeriksaan setiap suku tahun untuk semua kenderaan berat dan bas (sebelum ini tahunan), wajibkan pemeriksaan sistem brek, tayar, lampu dan sistem pengagihan beban kerana ini penting untuk keselamatan jalan raya.
“Memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan rawak di tepi jalan bagi memastikan pematuhan antara pemeriksaan berjadual dan menubuhkan Pusat Pemeriksaan Bertauliah terutamanya di kawasan luar bandar atau kawasan trafik tinggi untuk memudahkan pematuhan kepada pengendali.
“Bagi yang gagal, mereka akan dikenakan penalti tegas atas sebab-sebab ditentukan, memperkenalkan sistem denda progresif dengan penalti lebih tinggi untuk kesalahan berulang.
“Selain itu, melaksanakan sistem rekod pemeriksaan digital yang dipautkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memastikan semua keputusan pemeriksaan berpusat dan boleh diakses semasa pemeriksaan penguatkuasaan,” katanya.
Bukan setakat itu saja, beliau juga menggesa supaya terdapat kelulusan bersyarat bagi pembaharuan cukai jalan bagi kenderaan berat dan bas yang gagal memenuhi piawaian keselamatan semasa pemeriksaan.
“Mandatkan pemeriksaan yang lebih kerap untuk kenderaan yang melebihi 10 tahun perkhidmatan kerana ia lebih terdedah kepada kegagalan mekanikal atau hadkan operasi umur kenderaan kepada 10 hingga 12 tahun,” katanya.
-Harian Metro

