IPOH : Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 5 September depan untuk pendengaran permohonan jaminan pegawai kanan polis yang didakwa membunuh pelajar Tingkatan Lima berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, Disember tahun lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan kes yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz bagi membalas hujahan yang difailkan pihak pembelaan bagi tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45.
Bhupindar membenarkan tempoh masa dua minggu dari tarikh hari ini untuk hujahan balas difailkan kedua-dua pihak Afzainizam serta pembelaan yang diketuai Jacky Loi Yap Loong semalam, sebelum tarikh pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 5 September.
“Saya benarkan pihak pendakwaan untuk membalas hujahan yang difailkan dan saya beri masa dua minggu untuk memfailkan hujahan balas sebelum menetapkan tarikh pendengaran permohonan,” kata Bhupindar.
Kes DSP dituduh bunuh Zaharif, petugas media kecewa sekatan buat liputan
Mahkamah turut diberitahu bahawa kedua-dua pihak sudah memfailkan penghujahan bertulis masing-masing semalam seperti diarahkan mahkamah sebelum ini.
Afzainizam menyatakan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti hujahan daripada pihak pembelaan dan memohon satu tarikh baharu ditetapkan bagi pendengaran permohonan itu.
Prosiding hari ini dihadiri tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala pihak pembelaan diwakili Jacky Loi, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.
Turut hadir peguam pemerhati yang dilantik oleh keluarga mangsa, Amira Najwafitri Amir Arif.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Jacky Loi memberitahu pihaknya memohon kepada mahkamah agar satu tarikh awal ditetapkan bagi pendengaran terbabit sebagai keadilan kepada tertuduh.
“Kita minta kalau boleh diawalkan kerana ini adalah satu permohonan jaminan, tambahan pula tarikh perbicaraan pun sudah ditetapkan bermula November depan. Sekiranya isu jaminan ini tidak diputuskan secepatnya, tidak adil dari segi hak asasi kepada tertuduh,” katanya.
Terdahulu, dalam prosding yang berlangsung pada 1 Julai lalu, Bhupindar menetapkan tarikh 1 Ogos iaitu hari ini sebagai tarikh pendengaran permohonan jaminan bagi kes itu selepas Jacky Loi, Chi Chau dan Jin Wen yang mewakili tertuduh menyerahkan afidavit pendek bagi membolehkan permohonan ikat jamin terhadap tertuduh.
Ia untuk kedua-dua belah pihak memfailkan hujahan, sementara menunggu tarikh perbicaraan bagi permohonan jaminan itu selepas Jacky Loi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sudah memfailkan afidavit permohonan itu pada 28 Jun lalu.
Mohd Nazri yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan memegang pangkat Deputi Superintendan (DSP), pada 14 Mei lalu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan membunuh terhadapnya dibacakan di hadapan Bhupindar.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, berhampiran sebuah sekolah menengah dalam daerah Kinta, di sini antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan.
Sebelum ini juga, Bhupindar menetapkan 30 hari tempoh perbicaraan bagi tuduhan kes bunuh pelajar itu dengan perbicaraan itu akan bermula pada 4 November depan dan berakhir sehingga 17 Januari 2025.
-Berita Harian
